GUA MUSANG - Penduduk sekitar bandar ini terkejut apabila melihat Gua batu kapur di hadapan Stesen Keretapi Gua Musang di sini, yang pusat pelancongan terbakar petang kelmarin.

Mereka menyedari kebakaran itu kira-kira jam 1 petang apabila melihat asap tebal di puncak gua itu sebelum memaklumkan kepada Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Gua Musang.

Kejadian kebakaran gua batu kapur itu dipercayai yang kedua selepas kejadian pertama tahun 1980 an dahulu mengakibatkan keseluruhan pokok kayu di gua terbabit hangus dan mengambil masa sebulan sebelum dipadamkan sendirinya.

Ini kerana kebakaran di gua berkenaan tidak boleh diambil tindakan anggota bomba dan penyelamat untuk memadamkan berikutan terlalu tinggi serta tidak boleh laluan di luar gua untuk didaki bagi pasukan penyelamat terbabit.

Seorang penduduk, Yusof Mohamad, 49, berkata, dia terkejut apabila melihat kepulan asap tebar di puncak gua dan semakin merebak ke kawasan berhampiran kerana pokok kayu di gua batu kapur kering berikutan terlalu lama kemarau.

Beliau khuatir kejadian kebakaran di puncak gua batu kapur itu mungkin ada pendaki yang mengkhianati dengan melemparkan puntung rokok menyebabkan mudah berlaku kebakaran pada musim kemarau panjang sekarang.

“Memang ada selalu mereka yang mendaki gua batu kapur berkenaan hingga ke puncak, tetapi saya kesal kerana mereka bukan sahaja mendaki untuk melepaskan keseronokan, malah membuang puntung rokok di merata tempat.

“Takkan tiba-tiba sahaja terbakar kalau tidak ada pendaki yang melemparkan puntung rokoknya ke pokok kayu kering di pucak gua itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai dan Penyelamat Gua Musang, Ahmad Nordin Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dari orang awam mengenai kejadian kebakaran di puncak gua batu kapur itu jam 5.17 petang.

Beliau berkata, empat anggota bomba dengan sebuah jentera bergegas ke tempat kejadian, tetapi tidak boleh memadamkan kebakaran terbabit kerana ia berlaku di pucak gua yang tidak mempunyai jalan untuk ke situ.

Bagaimanapun, kata beliau, pihaknya akan memantau kebakaran di puncak gua batu kapur itu dengan memastikan ia tidak merebak ke kawasan yang lebih merbahaya terutama di kawasan bawah yang menjadi penempatan penduduk setinggan.

“Kita menerima dua panggilan mengenai kejadian kebakaran itu petang ini (semalam) termasuk satu lagi berlaku di puncak bukit di Pos Brooke, tetapi sukar memadamkan kerana tidak mempunyai jalan perhubungan ke tempat terbabit,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BACHOK - Seorang anak segera memapah bapanya yang uzur serta mendukung cucunya berusia tiga tahun ketika api marak membakar rumah jirannya, kira-kira jam 3 pagi kelmarin.
  • BATU PAHAT - Seorang ibu tunggal tinggal sehelai sepinggang selepas rumah didiami sejak 26 tahun lalu di Kampung Bumiputera Dalam, Rengit, musnah dalam kebakaran, petang kelmarin.
  • KOTA BHARU - Sebanyak 20 kediaman kayu musnah dalam kebakaran di Wakaf Mek Zainab sini hari ini.
  • KUALA KUBU BHARU - Tiga beranak tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka di Taman Arif Utama terbakar kira-kira jam 8.30 malam, kelmarin.
  • GUA MUSANG - Dua buah rumah di Kampung Baru, Bandar Lama, di sini terbakar kira-kira jam 8.28 pagi tadi.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.