MUAR - Membuat keputusan meninggalkan agama asal setelah berpuluh tahun menganutinya demi mendapatkan cahaya kebenaran Islam bukanlah mudah bagi seseorang.

Malah, selain harus mempelajari ilmu agama baharu, corak kehidupan juga perlu ditukar terutama melibatkan budaya dan aktiviti yang selari dengan tuntutan agama.

Mualaf, Muhammad Na Meng Hui atau lebih mesra disapa Muhammad Na, 34, mengakui janggal meraikan Aidilfitri pertama kali pada 2016 sebagai Muslim memandangkan segala-galanya adalah pengalaman pertama baginya.

Menurutnya, tahun kedua menyambut Aidilfitri lebih selesa apabila pelbagai persiapan sudah boleh diatur dengan lebih baik.

“Jika tahun pertama, Aidilfitri saya lebih bersifat sederhana memandangkan itu adalah pengalaman pertama sambut raya.

"Banyak perkara yang saya tak tahu seperti macam mana Melayu meraikan Syawal seharian, apa yang dilakukan selain aktiviti berziarah.

“Tambahan pula pada tahun itu, saya masih belum berkahwin, jadi ia agak kekok untuk beraya bersama keluarga orang lain tanpa menyambutnya dengan keluarga sendiri,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Rakan sekerja cetus semangat masuk Islam

Menyingkap kembali detik awal penghijrahannya, Muhammad Na yang bekerja sebagai penyelia di salah sebuah pusat servis tayar di Bukit Pasir, Pagoh, di sini, berkata, hatinya terbuka untuk memeluk Islam selepas beberapa tahun perkenalan dengan rakan sekerjanya, Riyana Rosli, 35.

“Sebelum ini, saya bekerja di pusat servis tayar sama di cawangan bandar Muar tapi tiga tahun lepas, saya dipindahkan ke Bukit Pasir sebab kekurangan pekerja di sini.

“Sejak itu, saya berkenalan dengan isteri saya yang juga bekerja sebagai kerani di sini.

"Selepas hampir tiga tahun berkawan, saya ambil keputusan untuk serius dan Riyana kemudian bertanyakan saya tentang Islam,” katanya ketika ditemui.

Meskipun menyedari keputusan untuk berhijrah kepada Islam bukanlah perkara mudah, namun dia tekad selepas mendapat keizinan daripada bapa serta adik-beradiknya.

“Saya akhirnya secara rasmi menjadi seorang Muslim pada 9 Mac 2016 dan semenjak itu, banyak perkara saya belajar dan Alhamdulillah rakan-rakan Islam berikan sokongan.

“Saya akui, pada mulanya tahap pengetahuan mengenai Islam masih lagi kurang.

"Namun saya bersyukur kerana akhirnya bertemu dengan sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Pusat Komuniti Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) Muar yang banyak membantu kaum Cina mualaf,” katanya.

Usaha jadi Muslim terbaik

Sementara itu, menurut Riyana, keputusan memilih Muhammad Na sebagai suami dibuat selepas melihat kesungguhan dan keikhlasan lelaki itu mendalami Islam.

“Pada mulanya saya hanya mempelawa secara bersahaja untuk dia masuk Islam, tapi tak sangka dia berminat dan mula mempelajari Islam.

"Saya juga terangkan kepadanya mengenai halal haram makanan termasuk kewajipan solat, berpuasa dan banyak lagi yang lain.

“Jawapannya meyakinkan saya bahawa soal makan dia tidak ada masalah kerana dah biasa dengan hidangan Melayu.

"Tapi untuk segala suruhan yang diperintahkan, dia akan cuba laksanakan sebaik mungkin,” katanya.

Menurut Riyana, dia bagaimanapun kagum kerana selepas bergelar Muslim, Muhammad Na mampu melaksanakan tanggungjawab dengan baik termasuk berpuasa dengan bersungguh-sungguh.

“Pertama kali berpuasa, dia berusaha tahan lapar walaupun terlalu penat dan berasa dahaga sehingga saya sendiri nampak dia begitu lemah.

"Tapi, dia teruskan juga berpuasa kerana beralasan sebolehnya tak nak sampai kena ganti.

“Alhamdulillah, pertama kali dalam hidupnya berpuasa, dia dapat laksanakan ibadah itu selama 29 hari. Sehari lagi dia  tak dapat bertahan kerana terlalu penat,” katanya.

Aidilfitri tahun ini lebih meriah

Riyana berkata, pertama kali menyambut Ramadan dan Syawal sebagai suami isteri tahun lalu, dia dapat melihat kesungguhan Muhammad Na mengerjakan ibadah puasa apabila sentiasa bersemangat untuk bangun sahur dan hampir setiap hari solat sunat Terawih.

“Menjelang Syawal pula, dia yang teruja pilih pakaian raya sedondon termasuk bersemangat mengecat rumah kerana nak merasai keriangan Aidilfitri.

"Apatah lagi ini kali pertama dia beraya bersama keluarganya sendiri iaitu keluarga belah saya

“Alhamdulillah, saban hari saya dapat melihat kebiasaan dalam dirinya untuk menempuh hidup sebagai seorang Muslim.

"Malah, saya sendiri kagum dengan dirinya bila perkara melibatkan kewajipan dan suruhan, dia benar-benar  bertanggungjawab melaksanakannya,” katanya.