JOHOR BAHRU - Penolong Pengarah Sekretariat Menangani Isu-Isu Akidah dan Syariah Majlis Agama Islam Negeri Johor, Jainal Sakiban, 65, dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1434H Peringkat Negeri Johor.

Anak kelahiran Senggarang Batu Pahat yang pernah menjadi penulis khat serta guru agama Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Sultan Iskandar menerima anuegrah itu yang disampaikan Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman, di Dewan Besar Pusat Islam Iskandar, di sini, semalam.

Sebagai simbolik, Abdul Ghani menyarungkan jubah dan memakaikan songkok kepada Jainal yang membawa pulang wang tunai RM10,000, sijil serta plak.

Jainal ketika ditemui berkata, anugerah berkenaan satu pengiktirafan paling bermakna buat dirinya.

“Syukur kepada ALLAH. Saya sendiri tidak tahu orang (juri) nak pilih saya untuk menerima anugerah ini. Rasa seperti tidak layak pula, namun saya amat menghargainya malah berterima kasih kerana memilih saya selaku penerima anugerah ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis berkenaan.

Keputusan lain menyaksikan Anugerah Saudara Kita kategori lelaki dinobatkan kepada Muhammad Sidek Arasu Abdullah; Anugerah Saudara Kita kategori perempuan dinobatkan kepada Nursaadah Tay Abdullah dan Anugerah Orang Asli dirangkul oleh Abdul Wahid Baharom sekali gus membawa pulang wang tunai RM2,000,sijil dan plak.

Masjid Nurul Falah Felda Redong, Segamat pula diumumkan selaku Johan Masjid Cemerlang seterusnya membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 dan sijil, manakala Surau Al-Ansar, Permas Jaya berjaya meraih Johan Surau Cemerlang dengan hadiah berupa wang tunai RM8,000 berserta sijil.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.