BIASANYA, untuk majlis perkahwinan, sudah menjadi trend bagi pihak keluarga menyediakan cenderahati kepada tetamu yang hadir, sama ada dalam bentuk makanan mahupun perhiasan sebagai tanda ingatan dan kenangan di majlis itu.

Cenderahati adalah salah satu perkara yang menjadi keutamaan kepada keluarga dan ia bergantung kepada trend semasa pada tahun itu.

Baru-baru ini, trend sabun dijadikan cenderahati menarik perhatian bakal pengantin kerana keunikannya dari segi reka bentuk, dan fungsinya bukan sahaja sebagai hiasan semata-mata tetapi juga boleh digunakan.

Kreatif dan unik

Dengan reka bentuk menarik, cenderahati ini sesuai untuk pelbagai majlis yang inginkan sesuatu kelainan dan kreatif.

Yumni Syuhaidah Mohammed Rodzi berkata, dia mengetahui tentang sabun ini menerusi Facebook ketika sedang mencari cenderahati untuk majlis khatam al-Quran.

"Keluarga setuju kerana ia tahan lama, lain daripada yang lain, murah dan berbaloi dengan harganya.

"Saya mencadangkan agar lebih banyak bentuk yang ditawarkan pada masa akan datang," katanya.

Seorang lagi pengguna, Airee Afiq Abd Rahim berkata, dia menjadikan produk ini sebagai cenderamata kenang-kenangan pada majlis aqiqah anak buahnya.

"Memang pada mulanya ia nampak seperti tidak sesuai dengan konsep majlis kami. Namun, rekaan yang menarik dan kreatif melengkapkan majlis itu.

"Ramai tetamu yang hadir turut memuji rekaan sabun cenderamata yang bukan sahaja cantik, malah sesuai dijadikan hiasan buat tetamu yang hadir," katanya.

Sementara itu, Muhammad Afiq Ramdzan memilih cenderamata sabun itu pada majlis pertunangan kakaknya kerana reka bentuk yang menarik dan kreatif serta menyerikan lagi majlis pertunangan itu kelak.

"Selain daripada keunikan reka bentuk, konsep dan warna sabun ini, harga yang ditawarkan juga sangat berpatutan," katanya.

Manakala, bagi Fatin Adilin Mohamed Ashri pula, dia melihat sabun tersebut ketika menghadiri majlis perkahwinan rakannya.

"Saya amat tertarik dengan cenderahati ini kerana ianya luar daripada kebiasaan dan harganya adalah lebih murah berbanding cenderahati lain yang boleh didapati dalam pasaran.

"Perkhidmatan yang diberikan oleh mereka adalah sangat baik dan mereka turut membantu saya dengan mencadangkan warna, saiz serta bentuk yang sesuai dengan tema perkahwinan saya," katanya.

Mula curi tumpuan pelanggan

Soap.Histicated adalah sabun kraf tangan eksklusif pertama di Malaysia yang boleh dijadikan cenderahati mengikut kehendak dan permintaan pelanggan dengan harga serendah RM1.20 seunit.

Pengasasnya, Muhammad Hadi Guna Safnal, 30, berkata, dia mendapat idea dan ilham untuk menghasilkan sabun itu selepas mendapat permintaan pelanggan daripada pakej mini pelamin yang turut diusahakannya.

Muhammad Hadi.

"Saya mahu tampil kelainan dengan memastikan cenderahati yang ingin dihasilkan adalah tahan lama dan boleh digunakan.

"Sehinggalah, saya mendapat idea untuk membuat sabun ini pada pertengahan tahun ini," katanya kepada Sinar Harian, baru-baru ini.

Menurutnya, kelainan sabun Soap.Histicated adalah kerana pelanggan boleh memilih reka bentuk, bau  dan warna.

Katanya, pelanggan juga boleh meletakkan nama, logo, lukisan, ucapan atau tarikh perkahwinan di dalam sabun tersebut.

Muhammad Hadi berkata, sabun ini bukan sahaja sebagai hiasan tetapi juga boleh digunakan  sama ada untuk mandian atau membasuh tangan kerana ia selamat digunakan tanpa bahan kimia seperti sodium lauryl sulfate (SLS) dan paraben.

"Kami mempunyai lima jenis bauan iaitu lavender, ros, oren, strawberi dan candy.

"Sejak berada di pasaran pada tiga bulan lalu, sabun itu telah dijual sebanyak 600 unit dengan tempahan dua hingga tiga sebulan bagi minimum 100 unit," katanya yang beroperasi di Seksyen 7, Bangi dibantu oleh isterinya.

Menurutnya, ramai pelanggan memilih sabun ini kerana keunikan dan kelainan, dengan harga berpatutan dalam keadaan ekonomi semasa yang tidak menentu.

Menuju ke hadapan, Muhammad Hadi berhasrat untuk meningkatkan pemasaran sehingga menerokai pasaran industri perhotelan dan korporat.

Sabun Soap.Histicated bukan sahaja boleh digunakan sebagai cenderahati perkahwinan tetapi juga majlis pertunangan dan akikah.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • MUSIM durian antara musim yang dinanti-nantikan terutama bagi penggemar raja buah, malah ia juga merupakan lubuk rezeki bukan sahaja kepada penjual buah, tetapi juga peniaga lain.
  • CAMELLIA sinensis merupakan spesies tumbuhan yang daun dan pucuknya digunakan untuk membuat teh, dari daerah pergunungan Himalaya, India dan Burma.
  • ENVICTUS International Holdings Limited (Envictus) menjenamakan semula tiga rangkaian restoran Delicious dengan konsep 'Grand Cafe' pertama di Malaysia.
  • PERNAHKAH anda mengimpikan untuk membina kejayaan sendiri? Menjadi bos memang menyeronokkan, namun realitinya tidak semua individu layak untuk membina dan memimpin perniagaan sendiri.