Lima bandar perbelanjaan tertinggi di Malaysia

KENAIKAN kos sara hidup terus menjadi antara cabaran utama isi rumah bandar khususnya dalam usaha memastikan keperluan asas kehidupan dapat dipenuhi secara konsisten.
Dalam persekitaran ekonomi semasa, kos sara hidup isi rumah berbeza mengikut lokasi, saiz keluarga, ciri demografi dan corak perbelanjaan sekali gus menjadikan keperluan perbelanjaan minimum menjalani kehidupan wajar tidak seragam antara bandar dan negeri.
Sehubungan itu, Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) digunakan sebagai satu ukuran bagi menganggarkan amaun perbelanjaan minimum yang diperlukan oleh isi rumah untuk menjalani kehidupan yang wajar merangkumi keperluan asas, kehendak serta keupayaan untuk mengambil bahagian dalam masyarakat.
Menurut laporan Indeks PAKW mengikut saiz isi rumah dan ibu negeri Malaysia 2024 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Shah Alam, Johor Bahru, George Town, Seremban dan Bandaraya Melaka muncul sebagai lima bandar dengan keperluan perbelanjaan asas kehidupan wajar tertinggi di Malaysia.
Di tempat pertama, Shah Alam, Selangor merekodkan indeks PAKW sebanyak 99.8 bagi seorang isi rumah, 100.1 bagi dua orang, 100.2 bagi tiga orang dan 100.3 bagi empat orang, menunjukkan keperluan perbelanjaan hampir setara dengan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang dijadikan indeks rujukan pada nilai 100.
Tempat kedua ialah Johor Bahru, Johor dengan indeks PAKW pada 92.9 bagi seorang isi rumah, 92.6 bagi dua orang, 92.5 bagi tiga orang dan 92.4 bagi empat orang.
George Town, Pulau Pinang berada di tempat ketiga dengan indeks PAKW direkodkan pada 90.7 bagi seorang isi rumah, 91.3 bagi dua orang, 92.6 bagi tiga orang dan 91.9 bagi empat orang.
Di tempat keempat, Seremban, Negeri Sembilan mencatat indeks PAKW sebanyak 87.7 bagi seorang isi rumah, 88.5 bagi dua orang, 91.6 bagi tiga orang dan 91.2 bagi empat orang.
Tempat kelima pula diduduki oleh Bandaraya Melaka, Melaka dengan indeks PAKW sebanyak 87.1 bagi seorang isi rumah, 87.9 bagi dua orang, 88.5 bagi tiga orang dan 88.8 bagi empat orang.
Di luar kelompok lima teratas, Kuantan, Pahang mencatat indeks PAKW pada 83.0 bagi seorang isi rumah, 84.5 bagi dua orang, 85.4 bagi tiga orang dan 86.1 bagi empat orang.
Seterusnya, Kuching, Sarawak mencatat indeks PAKW sebanyak 83.5 bagi seorang isi rumah seorang, 84.0 bagi dua orang, 84.5 bagi tiga orang dan 84.7 bagi empat orang.
Bagi Ipoh, Perak, indeks PAKW berada pada 81.9 bagi isi rumah seorang, 81.8 bagi dua orang, 81.8 bagi tiga orang dan 81.5 bagi empat orang.
Kota Kinabalu, Sabah merekodkan indeks PAKW sebanyak 77.9 bagi seorang isi rumah, 77.2 bagi dua orang, 77.1 bagi tiga orang dan 76.9 bagi empat orang.
Di Kuala Terengganu, Terengganu, indeks PAKW direkodkan pada 68.2 bagi isi rumah seorang, 69.9 bagi dua orang, 71.2 bagi tiga orang dan 72.1 bagi empat orang.
Bagi Alor Setar, Kedah, indeks PAKW berada pada 68.3 bagi seorang isi rumah seorang, 69.7 bagi dua orang, 70.4 bagi tiga orang dan 71.4 bagi empat orang.
Bagi Kota Bharu, Kelantan, indeks PAKW direkodkan pada 61.5 bagi isi rumah seorang, 62.9 bagi dua orang, 64.0 bagi tiga orang dan 64.6 bagi empat orang.
Manakala Kangar, Perlis merekodkan indeks PAKW terendah, iaitu 59.0 bagi seorang isi rumah, 58.8 bagi dua orang, 59.1 bagi tiga orang dan 59.2 bagi empat orang.
Faktor mempengaruhi indeks
Pensyarah Kanan Pengajian Antarabangsa dan Pengurusan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara Cawangan Selangor, Profesor Madya Dr Idaya Husna Mohd berkata, kedudukan tinggi sesebuah bandar dalam indeks perbelanjaan lazimnya dipengaruhi gabungan kos perumahan, pengangkutan dan harga perkhidmatan bandar.

“Shah Alam berada dalam ekosistem ekonomi Lembah Klang yang mempunyai pasaran perumahan saling bersambung dengan Kuala Lumpur dan Petaling Jaya manakala George Town berperanan sebagai pusat ekonomi dan pelancongan Pulau Pinang.
“Keadaan itu secara tidak langsung menolak kenaikan sewa dan harga rumah di bandar-bandar berkenaan. Di bandar membangun, tanah pembangunan strategik terhad yang mana pematuhan, infrastruktur dan kos tanah yang tinggi dipindahkan kepada harga rumah atau sewaan,” katanya kepada Sinar Bisnes.
Tambahnya, jarak perjalanan bekerja yang lebih jauh, kesesakan lalu lintas serta kebergantungan kepada kenderaan persendirian meningkatkan kos petrol, tol dan penyelenggaraan khususnya di kawasan Lembah Klang.
“Selain itu, kos masa akibat kesesakan turut menambah perbelanjaan efektif isi rumah apabila mereka cenderung membelanjakan lebih untuk kemudahan berhampiran tempat kerja termasuk makanan dan perkhidmatan harian.
“Dalam masa sama, kos operasi perniagaan seperti sewaan premis, gaji pekerja, utiliti serta pematuhan lesen lazimnya lebih mahal dan keadaan ini diterjemahkan kepada harga makanan, perkhidmatan serta perkhidmatan sosial yang lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata, paras Indeks PAKW lebih rendah di bandar seperti Kangar, Alor Setar dan Kota Bharu tidak wajar ditafsirkan semata-mata sebagai kos hidup yang murah sebaliknya perlu dilihat dalam konteks struktur ekonomi dan ciri bandar berkenaan.
“Kos perumahan dan perkhidmatan di bandar-bandar ini lebih rendah berikutan penawaran tanah yang longgar dan kos operasi perniagaan terkawal. Keadaan ini menyumbang kepada harga perkhidmatan bandar yang secara relatifnya lebih stabil.
“Bandar yang kurang padat dari segi aktiviti ekonomi pula mempunyai permintaan lebih sederhana terhadap perkhidmatan premium sekali gus mengekang tekanan harga setempat termasuk sewaan dan perkhidmatan,” jelasnya.
Idaya Husna berpandangan, perbezaan tahap indeks PAKW antara bandar berindeks tinggi dan rendah mempunyai implikasi jangka panjang yang berbeza terhadap kebolehcapaian hidup, pasaran buruh serta keperluan campur tangan dasar.
“Di bandar berindeks tinggi seperti Shah Alam dan George Town, peningkatan kos perumahan dan sara hidup boleh menjejaskan kebolehcapaian hidup golongan berpendapatan rendah dan sederhana seterusnya mendorong risiko perpindahan penduduk ke pinggir bandar.
“Keadaan ini berpotensi meningkatkan kos pengangkutan harian dan mengurangkan kesejahteraan serta produktiviti bandar sekiranya pertumbuhan gaji tidak seiring kos perumahan dan sewaan,” jelasnya.
Menurut beliau, pendekatan dasar yang berbeza wajar dipertimbangkan bagi bandar berindeks tinggi dan rendah bagi memastikan keseimbangan kos sara hidup dan peluang ekonomi.
“Bagi bandar berindeks tinggi, tumpuan perlu diberikan kepada penyediaan perumahan mampu milik berhampiran lokasi pekerjaan, sistem pengangkutan awam yang benar-benar mengurangkan kos mobiliti serta kecekapan pengurusan kos perkhidmatan bandar.
“Sebaliknya, bandar berindeks rendah perlu memberi fokus kepada pemerkasaan pasaran buruh dan kualiti pekerjaan supaya kos hidup rendah tidak terperangkap dalam situasi pendapatan yang turut rendah,” katanya.
INFO - Turutan bandar perbelanjaan tertinggi di Malaysia (selain Kuala Lumpur):
1. Shah Alam
2. Johor Bahru
3. George Town
4. Seremban
5. Bandaraya Melaka
6. Kuantan
7. Kuching
8. Ipoh
9. Kota Kinabalu
10. Kuala Terengganu
11. Alor Setar
12. Kota Bharu
13. Kangar
Ringkasan AI
- Kenaikan kos sara hidup terus menjadi cabaran utama isi rumah bandar untuk memenuhi keperluan asas
- PAKW digunakan sebagai ukuran perbelanjaan minimum untuk kehidupan wajar merangkumi keperluan asas dan keupayaan mengambil bahagian dalam masyarakat
- Shah Alam, Johor Bahru, George Town, Seremban, dan Bandaraya Melaka adalah lima bandar dengan keperluan perbelanjaan asas kehidupan wajar tertinggi di Malaysia
- Kos perumahan, pengangkutan, dan harga perkhidmatan bandar merupakan faktor utama yang mempengaruhi indeks PAKW
- Perbezaan indeks PAKW antara bandar menunjukkan implikasi jangka panjang ke atas kebolehcapaian hidup dan keperluan campur tangan dasar
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
