Bioeconomy Corporation sumbang RM39.9 bilion kepada KDNK

No Image Caption
A
A
A

Bioeconomy Corporation menyumbang sebanyak RM39.9 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sepanjang tempoh 20 tahun sekali gus mengukuhkan peranannya sebagai pemacu utama industri bioteknologi dan berasaskan-bio negara.

Ditubuhkan susulan pengenalan Dasar Bioteknologi Negara (DBN) pada tahun 2005 dan diperkukuh menerusi Dasar Bioteknologi Negara 2.0 (DBN 2.0) yang dilancarkan pada 2022, Bioeconomy Corporation beroperasi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi menerajui pertumbuhan bioekonomi Malaysia.

Menerusi dua program utamanya, Status BioNexus dan Bio-based Accelerator (BBA), Bioeconomy Corporation memudah cara lebih RM14.6 bilion pelaburan yang diluluskan, menjana lebih 16,600 peluang pekerjaan di seluruh negara serta menyokong hampir 650 syarikat Status BioNexus dan BBA.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, pencapaian 20 tahun Bioeconomy Corporation mencerminkan keyakinan berterusan kerajaan terhadap agensi tersebut menerajui bioekonomi Malaysia ke arah daya saing global.

Menurut beliau, pada tahun 2025 sahaja, anggaran nilai pelaburan dan komersial yang direkodkan di bawah seliaan Bioeconomy Corporation meningkat daripada RM1.55 bilion pada 2024 kepada lebih RM2.44 bilion mewakili pertumbuhan hampir 60 peratus.

“Dengan sokongan MOSTI, Bioeconomy Corporation terus memacu kemajuan di bawah DBN 2.0 dengan aspirasi untuk meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara bioinovasi berteknologi tinggi menjelang 2030.

“Pencapaian ini adalah hasil kepakaran, pengalaman dan keupayaan pelaksanaan Bioeconomy Corporation yang dibina sepanjang 20 tahun penubuhannya,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bioeconomy Corporation, Mohd Khairul Fidzal Abdul Razak berkata, pencapaian organisasi itu adalah kerana sokongan kukuh MOSTI serta kerjasama rapat bersama kementerian, agensi tempatan dan antarabangsa, pemain industri, institusi akademik serta rakan strategik lain dalam ekosistem bioekonomi.

“Pada tahun 2026, kami menyasarkan untuk menjana sekurang-kurangnya RM2.2 bilion hasil daripada syarikat Status BioNexus dan BBA.

Artikel Berkaitan:

“Selaras dengan keutamaan Kerajaan MADANI, kami juga akan meneroka penerapan penyelesaian digital dan berasaskan kecerdasan buatan (AI) bagi membantu meningkatkan skala dan mempercepatkan pertumbuhan syarikat dengan lebih cekap,” katanya.

Ujar beliau lagi, penumpuan AI merentas sektor pertanian, penjagaan kesihatan dan bioekonomi industri akan memperkukuh keselamatan makanan, memacu inovasi penjagaan kesihatan, menyokong ekonomi kitaran serta membuka peluang ekonomi baharu.

Dalam pada itu, sejak 2005, Bioeconomy Corporation telah membantu mengembangkan syarikat tempatan ke peringkat global melalui sokongan menyeluruh merangkumi promosi pelaburan, pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), bakat, akses pasaran serta sokongan pembiayaan.

Inisiatif ini sejajar dengan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021–2030, menyokong aspirasi Malaysia untuk menjadi negara berteknologi tinggi dan dipacu inovasi menjelang 2030.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!