Syarikat pemula AI pertaruh teknologi fon telinga

SYARIKAT-SYARIKAT AI kini berlumba-lumba mencari peranti paling ideal untuk menyalurkan keupayaan luar biasa AI, dan sebahagian pemain baharu yakin fon kepala atau fon telinga (earbuds) adalah jawapannya.
Sejak beberapa tahun lalu, syarikat pemula teknologi sudah cuba menambah fungsi fon kepala melebihi kegunaan asas seperti mendengar muzik dan membuat panggilan telefon.
Hampir sedekad lalu, syarikat Waverly Labs dan Mymanu memperkenalkan ciri terjemahan masa nyata, sebelum Google menyusul dengan pembantu AI berasaskan suara pada 2020.
Seiring gelombang AI, gergasi teknologi seperti Samsung dan Apple turut menyertai persaingan, dengan ciri pembatalan hingar kini hampir menjadi standard produk.
Kini, banyak syarikat pemula yang kebanyakannya menghadiri pameran elektronik pengguna Consumer Electronics Show (CES) minggu ini di Las Vegas cuba memperhalusi teknologi ini dan mengaplikasikannya untuk kegunaan khusus.
Antaranya ialah OSO, yang mahu membawa konsep pembantu profesional ke tahap lebih tinggi.
Fon telinganya mampu merakam mesyuarat dan mendapatkan semula maklumat perbualan atas permintaan menggunakan bahasa harian.
Pesaingnya, Viaim menawarkan perkhidmatan serupa dan bercadang memberi tumpuan kepada kebolehoperasian dalam dunia yang dikuasai pengeluar telefon pintar besar yang mengenakan platform masing-masing.
“Jika anda guna jenama telefon lain, ia langsung tiada fungsi AI. Di situlah peluang untuk fon telinga kami,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif Viaim, Shawn Ma sambil menyatakan peranti mereka serasi dengan semua jenama, termasuk iPhone di China.
Sementara itu, Timekettle mencatat kejayaan dalam konteks berbeza, dengan 90 peratus jualannya datang daripada sekolah, menurut Brian Shircliffe, ketua jualan AS bagi syarikat China itu.
Banyak sekolah melengkapkan pelajar yang tidak fasih berbahasa Inggeris dengan peranti ini supaya mereka boleh mengikuti pembelajaran tanpa memerlukan jurubahasa.
Membaca minda
Persoalan sama ada fon telinga boleh menggantikan cermin mata pintar, pembesar suara bersambung, atau malah telefon pintar sebagai lanjutan fizikal utama AI generatif masih belum terjawab.
Buat masa ini, sebarang fungsi AI sangat bergantung kepada telefon yang disambungkan kepadanya, kata penganalisis utama CCS Insight, Ben Wood.
“Fon telinga sememangnya pintu masuk AI yang lebih mudah berbanding cermin mata pintar,” kata Avi Greengart, presiden firma perunding Techsponential.
“Ia jauh lebih murah, merupakan produk yang memang dibeli oleh kebanyakan pengguna telefon pintar, dan tidak memerlukan preskripsi.”
Namun begitu katanya, orang ramai biasanya tidak memakainya sepanjang masa, berbeza dengan cermin mata dan interaksi hanya melalui suara, jadi anda perlu berada dalam persekitaran yang sesuai untuk bercakap.
Beliau turut memberi amaran bahawa ketiadaan kamera mengehadkan potensi peranti ini.
Kekangan itu tidak menghalang sesetengah pihak, termasuk Naqi Logix, yang fon telinga Neural Earbuds-nya dilengkapi penderia ultra-sensitif untuk mengesan pergerakan kecil.
Dengan penderia ini, pengguna lumpuh keempat-empat anggota (quadriplegik) boleh mengawal kerusi roda atau melayari internet hanya dengan memandang skrin komputer.
Pengurus operasi, Sandeep Arya, melihat potensi besar inovasi ini, kerana orang ramai mahu berinteraksi dengan persekitaran mereka secara lebih senyap dan halus tanpa perlu memanggil Siri pada telefon, Alexa pada pembesar suara, atau Meta pada cermin mata pintar.
Arya membayangkan teknologi ini berkembang lebih jauh, dengan penderia yang lebih canggih mampu mentafsir pergerakan wajah, sekali gus membolehkan chatbot menyesuaikan nada dan perkataan mengikut emosi.
Satu lagi syarikat pemula, Neurable, yang set fon kepalanya MW75 Neuro LT mengukur aktiviti otak, memasang impian untuk membolehkan komunikasi melalui pemikiran tanpa gerak isyarat atau kata-kata.
“Ia memang mengagumkan,” kata Ben Wood mengenai kemajuan ini, tetapi buat masa ini, ia masih pasaran niche.
Sehingga ke satu tahap tertentu, ratusan juta fon kepala yang telah dijual akan kekal tertumpu kepada fungsi mendengar. - AFP
Ringkasan AI
- Syarikat-syarikat AI mencari peranti ideal untuk menyalurkan keupayaan AI dengan fon kepala dan earbuds menjadi fokus
- Syarikat pemula teknologi menambah fungsi pada fon kepala melebihi mendengar muzik dan membuat panggilan
- Ciri terjemahan masa nyata dan pembantu AI berasaskan suara telah diperkenalkan sejak hampir sedekad lalu
- Pelbagai syarikat memperhalusi teknologi fon kepala dan earbuds untuk kegunaan khusus seperti rakaman mesyuarat dan mendapatkan maklumat perbualan
- Teknologi ini juga meliputi penggunaan sensor ultra-sensitif untuk membantu pengguna lumpuh mengawal kerusi roda atau melayari internet hanya dengan mata
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
