Sunway tawar RM11 bilion ambil alih IJM Corp

Sunway mengumumkan tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat ke atas IJM Corporation Bhd.
Sunway mengumumkan tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat ke atas IJM Corporation Bhd.
A
A
A

SHAH ALAM - Sunway Bhd mengumumkan tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat ke atas IJM Corporation Bhd dengan nilai keseluruhan kira-kira RM11 bilion.

Presiden Kumpulan Sunway, Datuk Anuar Taib berkata, langkah korporat berkenaan adalah tepat pada masanya untuk membuka sinergi dan penciptaan nilai yang melangkaui kumpulan itu.

"Sebagai organisasi yang dipacu oleh tujuan dan komited kepada pembinaan negara, langkah ini akan membina juara kebangsaan, meningkatkan skala dan keupayaan kumpulan yang diperbesarkan itu.

"Langkah korporat yang dicadangkan itu tepat pada masanya dan strategik untuk membuka sinergi dan penciptaan nilai yang melangkaui Kumpulan, dan juga untuk negara," katanya dalam satu kenyataan.

Menerusi tawaran tersebut, harga ditetapkan pada RM3.15 bagi setiap saham, yang mewakili premium 14.55 peratus berbanding harga penutup terakhir RM2.75.

Menurut Sunway Bhd, pertimbangan bagi tawaran itu akan diselesaikan melalui gabungan 10 peratus tunai dan 90 peratus menerusi penerbitan saham baharu Sunway pada harga terbitan RM5.65 sesaham.

Sebagai contoh, seorang pemegang saham IJM yang memiliki 1,000 saham akan menerima kira-kira RM2,835 dalam bentuk saham Sunway, bersamaan dengan 501 saham baharu Sunway pada harga RM5.65 sesaham serta RM315 dalam bentuk tunai.

Komponen tunai sebanyak RM1.1 bilion bagi transaksi itu akan dibiayai menerusi gabungan pembiayaan hutang dan dana dalaman yang dijana.

Disebabkan saiz transaksi tersebut, yang mewakili 73.7 peratus di bawah peraturan penyenaraian Bursa Malaysia, tawaran yang dicadangkan memerlukan kelulusan daripada pemegang saham Sunway dalam satu mesyuarat agung luar biasa (EGM).

Artikel Berkaitan:

Ia juga tertakluk kepada kelulusan Bursa Malaysia untuk menyenaraikan saham baharu Sunway, serta kelulusan kawal selia lain yang berkaitan sekiranya perlu.

Sekiranya Sunway akhirnya memiliki lebih daripada 90 peratus saham IJM, ia boleh bergerak untuk membeli secara paksa baki saham IJM di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan.

Sunway berkata, ia tidak bercadang untuk mengekalkan status penyenaraian IJM sekiranya syarikat itu tidak lagi memenuhi keperluan pegangan saham awam selepas pengambilalihan tersebut.

Urus niaga mega itu dijangka selesai pada suku ketiga 2026.

UBS AG Cawangan Singapura telah dilantik sebagai Penasihat Kewangan Antarabangsa manakala Maybank IB bertindak sebagai Penasihat Utama kepada Sunway bagi tawaran berkenaan.

 

Ringkasan AI

  • Sunway Bhd mengumumkan tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat terhadap IJM Corporation Bhd berjumlah RM11 bilion
  • Presiden Kumpulan Sunway, Datuk Anuar Taib, melihat langkah ini sebagai cara untuk membuka sinergi dan mencipta nilai yang lebih besar
  • Tawaran tersebut menawarkan harga RM3.15 bagi setiap saham IJM, menjadikannya 14.55 peratus lebih tinggi dari harga penutupan terakhir
  • Kaedah pembayaran melibatkan kombinasi 10 peratus tunai dan 90 peratus melalui penerbitan saham baharu Sunway
  • Transaksi ini memerlukan kelulusan daripada pemegang saham Sunway dan pihak berkuasa pengawalseliaan, serta tidak memelihara status penyenaraian IJM post-pengambilalihan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!