TELEKOM Malaysia Bhd (TM) bakal memperluaskan liputan jalur lebar UniFI di negeri ini dengan penambahan tiga lokasi ibu sawat untuk perkhidmatan itu menjelang suku ketiga tahun ini.

Naib Presiden Negeri, TM Johor, Azhar Omar berkata, tiga lokasi baharu ialah di Batu Pahat, Taman Perling dan Ulu Tiram di Johor Baharu.

“Dengan penambahan tiga lokasi baharu, diharapkan pengguna UniFI akan bertambah di negeri ini,” katanya selepas pelancaran acara tahunan SME BizFest 2015 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini, semalam.

Turut hadir pada majlis itu ialah Naib Presiden Eksekutif, Pengguna dan SME TM Imri Mokhtar dan Naib Presiden Jualan, Pengguna dan SME TM Khaidhir Elias.

Pada acara itu tahun lepas, TM telah mengumumkan 10 lokasi ibu sawat bagi perkhidmatan UniFI yang antaranya merangkumi Skudai, Tampoi, Gelang Patah, Senai, Permas, Kulaijaya dan Pasir Gudang, katanya.

Buat masa ini kadar penggunaan UniFI di negeri ini adalah sebanyak 47 peratus.

Manakala pengguna UniFI di seluruh negara kini berjumlah 800,000 yang mana 130,000 terdiri daripada perusahaan.

Sementara itu, Imri berkata perusahaan kecil dan sederhana (PKS) digalakkan untuk mempunyai kewujudan urus niaga dalam talian bagi memenuhi keperluan pengguna yang semakin menjurus kepada perdagangan elektronik.

“Kami percaya gaya hidup digital adalah hala tuju kita. Lebih pantas PKS di Malaysia mengintegrasikan teknologi maklumat dan komunikasi dalam model perniagaan mereka, lebih pantas mereka mampu berinovasi bagi mendominasi pasaran,” katanya.

Mengikut perangkaan SME Corp, daripada jumlah PKS yang berdaftar, sembilan peratus mempunyai kewujudan urus niaga dalam talian dan jumlah ini dijangka meningkat lebih dua kali ganda dalam masa lima tahun akan datang.

“Ini berdasarkan kos pelaburan integrasi teknologi maklumat dan komunikasi semakin berpatutan dan tahap kesedaran yang semakin meningkat di kalangan PKS. Yang paling penting, adakah mereka berani dan bersedia menyahut cabaran ini?,” kata Imri.

SME BizFest seterusnya akan diadakan di Hotel Equatorial, Pulau Pinang pada 19 Mei dan berakhir di Magellan Sutera Resort, Kota Kinabalu, 16 Jun. - Bernama