PENGENDALI rangkaian makanan halal segera Malaysia, Marrybrown Sdn Bhd (Marrybrown) terus mengukuhkan jenama di pasaran halal antarabangsa dengan menyasarkan pembukaan 50 lagi cawangan baharu di luar negara, tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Joshua Liew berkata, Marrybrown menjangkakan menembusi pasaran antarabangsa, antaranya Singapura pada Mac depan, Pakistan, Asia Tengah dan Afrika serta Kenya.

Menurutnya, jenama Marrybrown kini berada di 16 negara dengan 400 rangkaian di seluruh negara.

“Marrybrown menjadi pilihan pelabur francais kerana konsep perniagaan restoran makanan halal secara menyeluruh termasuk dari segi pemprosesan dan penyediaan sehingga hidangan makanan. Pada tahun ini, Marrybrown menembusi pasaran Brunei dan Thailand.

“Dengan penembusan kedua-dua negara tersebut, melengkapkan peluasan perniagaan kami di Asia Tenggara,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di USJ, Subang, baru baru ini.

Menurutnya, antara pasaran telah ditembusi Marrybrown adalah Dubai, Arab Saudi, Kuwait, India, China, Sri Lanka, Tanzania, Syria, Indonesia, Qatar, Bahrain, Maldives dan Myanmar.

"Myanmar adalah negara yang minoriti Muslim dan ia tidak mematahkan kesungguhan kami berada di sana. Kami mendapat sambutan di luar jangkaan, malah menjadi pilihan kerana hidangan Marrybrown berasaskan ayam dan tidak mempunyai daging seperti jenama
makanan segera lain," katanya.

Ditanya mengenai operasi Marrybrown di pasaran tempatan, beliau berkata, 15 cawangan baharu dijangka dibuka, antaranya di Langkawi, Shah Alam dan Sarikei pada tahun depan.

“Pada tahun ini, syarikat memberikan tumpuan kepada kawasan Pantai Timur kerana permintaan yang meningkat di kawasan itu. Marrybrown beroperasi di Dungun, Gong Badak, Kerteh, Paka dan Kemaman di Terengganu serta Langkawi di Kedah,” katanya.

Beliau berkata, Marrybrown menyasarkan menembusi pasaran di 46 lagi negara Islam di dunia dan setakat ini, Marrybrown berada di 10 negara.

“Marrybrown juga mendapat permintaan tinggi daripada penduduk Perancis supaya membuka cawangan di sana kerana negara tersebut mempunyai 3 juta penduduk Muslim. Ia sedang dipertimbangkan kerana pembukaan cawangan Marrybrown baharu perlu dibuat secara terperinci.

“Marrybrown tidak mengejar kuantiti sebaliknya mengutamakan kualiti kerana kami sudah beroperasi selama 33 tahun. Sebanyak 80 peratus perniagaan Marrybrown adalah francais manakala 20 peratus adalah pemilik syarikat,” katanya.

Menurutnya, Marrybrown menyasarkan pertumbuhan perolehan dua digit pada 2015 dengan dipacu oleh strategi pemasaran yang inovatif dan efektif.