Indeks FBM KLCI cecah 1,700 mata, paras tertinggi sejak Februari 2019

Dr Mohd Afzanizam (gambar kecil) berkata, prestasi positif itu menandakan keyakinan pelabur terhadap ekonomi Malaysia terutamanya apabila angka anggaran KDNK bagi suku keempat 2025 bakal diumumkan pada 16 Januari - Gambar hiasan
Dr Mohd Afzanizam (gambar kecil) berkata, prestasi positif itu menandakan keyakinan pelabur terhadap ekonomi Malaysia terutamanya apabila angka anggaran KDNK bagi suku keempat 2025 bakal diumumkan pada 16 Januari - Gambar hiasan
A
A
A

FBM KLCI ditutup melepasi paras 1,700 mata pada Selasa, disokong oleh petunjuk serantau yang kebanyakannya positif, sekali gus mengangkat sentimen pasaran dan mendorong penanda aras itu ke paras tertinggi dalam tempoh beberapa tahun.

Pada jam 5 petang, FBM KLCI meningkat 12.76 mata atau 0.75% kepada 1,708.20, iaitu paras tertinggi sejak Februari 2019, didorong oleh kenaikan kukuh saham perbankan.

Bilangan saham untung dan rugi adalah hampir seimbang, dengan 556 saham mencatatkan kenaikan berbanding 548 saham menurun, manakala 559 saham tidak berubah. Sebanyak kira-kira 3.45 bilion saham bernilai RM3.55 bilion diniagakan.

Minat belian tertumpu terutamanya dalam sektor perbankan dan beberapa kaunter berwajaran tinggi terpilih.

Dalam kalangan saham mencatatkan kenaikan, Hong Leong Industries meningkat 34 sen kepada RM17, Batu Kawan naik 22 sen kepada RM20.30, Tenaga Nasional menambah 20 sen kepada RM13.80, manakala Spritzer melonjak 20 sen kepada RM3.02.

Bagi saham perbankan, Maybank meningkat 12 sen kepada RM11.06, CIMB melonjak 17 sen kepada RM8.38, manakala Public Bank naik lima sen kepada RM4.64. RHB Bank menambah 15 sen kepada RM8.05, AmBank meningkat lapan sen kepada RM6.55, dan Hong Leong Bank naik dua sen kepada RM23.32.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, prestasi positif itu menandakan keyakinan para pelabur terhadap ekonomi Malaysia terutamanya apabila angka anggaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku keempat 2025 bakal diumumkan pada 16 Januari.

Katanya, berdasarkan bancian dalam kalangan penganalisis ekonomi, rata-rata pertumbuhan ekonomi bagi suku keempat dijangka mencecah 5.4 peratus berbanding 5.2 peratus pada suku ketiga 2025.

“Pertumbuhan ekonomi yang stabil jelas menunjukkan bahawa strategi pertumbuhan ekonomi mula memberi kesan positif meskipun berhadapan ketidakpastian ekonomi global berikutan dasar pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang sukar diramal dan dilihat bakal memberi kesan negatif terhadap ekonomi mereka sendiri.

“Seterusnya, pertumbuhan ekonomi yang stabil turut diterjemahkan menerusi tren keuntungan syarikat yang disenaraikan yang sihat,” katanya kepada Sinar Bisnes.

Ujar Mohd Afzanizam, penganalisis ekuiti turut menjangkakan trend keuntungan syarikat yang disenaraikan sihat akan diterjemahkan melalui penilaian harga-harga saham yang lebih baik pada masa akan datang.

“Sektor seperti perbankan, pembinaan, teknologi, pengguna, perladangan dan sebagainya akan menjadi tumpuan dalam kalangan para pelabur,” katanya.

Dalam pada itu, pelabur asing juga telah mula mencatatkan belian bersih bagi tempoh dua hari berturut-turut.

Menurutnya, belian bersih dalam kalangan para pelabur asing di dalam pasaran saham tempatan dilihat membantu dalam melonjakkan indeks FBM KLCI.

“Hal ini menandakan terdapatnya permintaan terhadap saham-saham tempatan dalam kalangan para pelabur asing yang akan menyokong harga-harga saham di Bursa Malaysia,” katanya.

Ringkasan AI

  • FBM KLCI ditutup melepasi paras 1,700 mata pada Selasa, mencatat paras tertinggi sejak Februari 2019
  • Kenaikan ini disokong oleh petunjuk serantau positif dan peningkatan kukuh saham perbankan
  • Bilangan saham untung dan rugi hampir seimbang dengan jumlah saham yang diniagakan sebanyak kira-kira 3.45 bilion
  • Senarai saham yang mencatatkan kenaikan melibatkan syarikat besar seperti Hong Leong Industries, Batu Kawan, dan Tenaga Nasional
  • Prestasi positif FBM KLCI menandakan keyakinan pelabur terhadap ekonomi Malaysia dengan pertumbuhan ekonomi dijangka mencapai 5.4% pada suku keempat 2025

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!