Shopee menandakan sedekad sokongan terhadap PMKS

Shopee membuktikan peranannya dalam membina ekosistem digital inklusif yang memperkasa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Shopee membuktikan peranannya dalam membina ekosistem digital inklusif yang memperkasa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
A
A
A

SEDEKAD beroperasi di Malaysia platform e-dagang Shopee membuktikan peranannya dalam membina ekosistem digital inklusif yang memperkasa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk berkembang secara mampan.

Dalam kenyataannya Shopee berkata, landskap e-dagang Malaysia telah berkembang menjadi enjin pertumbuhan penting bagi PMKS, membolehkan perniagaan meluaskan capaian ke seluruh negara, meningkatkan kecekapan serta membina daya tahan jangka panjang melalui penerapan digital.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Shopee, Terence Pang berkata, sejak penubuhan pada 2015, Shopee berusaha membina ekosistem digital yang boleh diakses oleh semua di mana perniagaan dan komuniti dapat berkembang maju.

“Penjual PMKS kini merangkumi lebih 99 peratus daripada jumlah penjual di platform tersebut di seluruh Asia Tenggara, Taiwan dan Brazil dengan nilai dagangan kasar terkumpul melebihi AS$270 bilion sepanjang 10 tahun lalu.

“Salah satu tonggak utama sokongan Shopee kepada PMKS termasuk pembangunan keupayaan penjual melalui Shopee University yang menawarkan lebih 1,500 modul latihan dalam talian selain sesi latihan dan bengkel secara fizikal yang diadakan di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, program yang telah memberi manfaat kepada 7.6 juta penjual PMKS itu merangkumi bidang seperti penubuhan kedai dalam talian, pemasaran digital serta pengoptimuman kempen bagi membantu mengukuhkan asas perniagaan.

Shopee berkata, sokongan yang diberikan terbukti kritikal ketika pandemik Covid-19 apabila perintah kawalan pergerakan memaksa penutupan kedai fizikal dan mempercepatkan peralihan ke saluran dalam talian.

Pada masa sama, ketika PMKS berkembang secara digital, Shopee memperkenalkan pelbagai alat bersepadu bagi meningkatkan keterlihatan dan penglibatan tanpa mengira sumber atau kepakaran pemasaran penjual.

Dalam pada itu, menerusi Shopee Live yang dilancarkan pada 2019, penjual PMKS di seluruh rantau ini merekodkan peningkatan purata tahunan melebihi 300 peratus dari segi jumlah pesanan yang dijana melalui ciri penstriman langsung tersebut.

Penggunaan kandungan berbentuk video pendek turut meningkat melalui Shopee Video dengan penjual PMKS memuat naik purata tambahan 16 juta video setiap tahun.

Berikutnya, penyelesaian pemasaran Afiliasi Shopee pula membolehkan PMKS bekerjasama dengan rakan afiliasi dan pempengaruh utama untuk mencapai khalayak lebih luas tanpa memerlukan pasukan pemasaran yang besar.

Selain pertumbuhan komersial, Shopee turut menyokong penjual Malaysia dalam memelihara budaya tempatan.

Contohnya, Sutra Nurani yang diasaskan guru muzik tradisional Melayu, Mohd Zulhafiz Jamaludin yang menghasilkan alat muzik tradisional buatan tangan.

Perniagaan yang berpangkalan di Selangor itu beralih ke platform dalam talian semasa pandemik dan sejak itu telah menjual lebih 68,000 item kepada pelanggan di luar bandar utama termasuk Sabah dan Sarawak, selain berkembang ke Singapura menerusi Shopee International Platform.

Sementara itu, bagi membantu penjual memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap kelajuan dan kemudahan, Shopee memperkenalkan penyelesaian pemenuhan pesanan seperti Shopee Instant Mart, Fulfilled by Shopee dan Same Day Delivery yang membolehkan perkhidmatan lebih pantas tanpa pelaburan infrastruktur besar.

“Hari ini, ketika kecerdasan buatan (AI) mentransformasi dunia perdagangan, kami teruja untuk terus berinovasi dengan mencipta penyelesaian yang memperkasa penjual serta memupuk komuniti.

“Bersama-sama, kita telah melalui perjalanan yang jauh sejak permulaan sederhana dahulu. Saya menantikan ekosistem yang terus berkembang dan menyesuaikan diri, melangkah maju ke hadapan,” kata Terence.

Ringkasan AI

  • SEDEKAD beroperasi di Malaysia, Shopee membangun ekosistem digital yang memperkasa PMKS
  • Landskap e-dagang menjadi enjin pertumbuhan utama bagi PMKS di Malaysia
  • Lebih 99 peratus daripada jumlah penjual di Shopee adalah PMKS dari Asia Tenggara, Taiwan, dan Brazil
  • Shopee memperkenalkan Shopee University untuk pembangunan keupayaan penjual dengan manfaat kepada 7.6 juta penjual
  • Sokongan Shopee kritikal semasa pandemik dengan pelbagai alat digital untuk meningkatkan keterlihatan dan penglibatan penjual PMKS

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!