BAGI peminat telekung jenama popular Siti Khadijah, pastinya tidak ketinggalan mendapatkan koleksi edisi terhad telekung tatahan Swarovski yang dilancarkan secara rasmi di Kuala Lumpur.

Koleksi terhad telekung ‘Crystal Swarovski Limited Edition (CLSE) diilhamkan hasil kolaborasi sulung bersama jenama antarabangsa Swarovski.

Didatangkan dengan dua rona warna pilihan iaitu teal garden dan burgundy, telekung ini dihias rapi dengan tatahan Swarovski 100 peratus asli berbentuk bunga di bahagian hadapan telekung agar tampil minimalis dan tidak terlalu menonjol.

Terdapat empat batu bunga dan 30 batu kecil yang terdapat pada koleksi edisi terhad telekung CLSE.

Fabrik cotton-feel polyester tidak hanya nyaman dipakai, malah ia juga tidak jarang, tidak tebal dan tidak terbang ketika sujud, antara isu biasa yang dialami Muslimah ketika mengerjakan solat.

Menurut Pengasasnya, Padzilah Enda Sulaiman yang ditemui di majlis pelancaran, koleksi terbaharunya itu tampil minimalis namun mementingkan kualiti dan keselesaan buat pelanggannya.

“Saya tidak mahu koleksi ini kelihatan riak sehingga menimbulkan fitnah. Jadi kita tampilkan rekaan yang tidak keterlaluan buat pelanggan untuk tampil selesa dan eksklusif,” katanya.

Demi menjamin keselesaan maksima, telekung edisi terhad ini ditawarkan dalam tiga pilihan saiz klasik pada bahagian wajah iaitu S (58cm), M (60cm) dan L (62cm).

Manakala labuh hadapan telekung ini adalah 117cm, labuh belakang 122cm dan labuh lining 65cm dan ukuran kain, labuh 135cm dan lebar 80cm.

Datang dengan kotak eksklusif, telekung CLSE ini amat sesuai dijadikan cenderahati buat VIP, didedikasikan sebagai penghargaan buat diri sendiri mahupun  diberikan sebagai cenderahati buat insan tersayang.

Telekung CLSE ini kini boleh didapati di butik Siti Khadijah terpilih dan secara atas talian di www.sitikhadijah.com bermula 8 Jun 2018 dengan harga pasaran RM399 sepasang.