MELIHAT kepada trend Industri Halal dunia, saiz pasaran akan terus berkembang berdasarkan peningkatan kesedaran dan permintaan kepada produk dan perkhidmatan halal daripada 1.8 bilion penduduk Islam di seluruh dunia. Seperti kita tahu, Malaysia mempunyai potensi besar dalam industri Halal dan diiktiraf sebagai peneraju global dalam industri Halal, ekosistem Halal negara dilengkapi dengan dasar yang komprehensif dan proaktif serta rangka kerja untuk membangunkan industri ini.

 

Jakim memainkan peranan penting dalam melindungi keperluan pengguna Islam dan membantu Malaysia mencapai matlamatnya untuk menjadi pemimpin dunia dalam perdagangan Halal.

 

Sungguhpun begitu masih ada golongan usahawan Melayu khusunya yang mengambil mudah pensijilan Halal ini. Mengapa ia terjadi dan jika berterusan adakah industri halal ini akan dikuasai bangsa lain yang bukanpun beragama Islam. Ikuti kupasan yang dibuat oleh wartawan Norshahzura Mat Zuki bersama Pengarah Bahagian Hab Halal Jakim, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee.

Mengapa produk halal mendapat sambutan yang luar biasa termasuk dari negara bukan Islam?

Produk halal berbeza dengan 10 tahun lalu, masyarakat bertanya mengenai kepentingan pensijilan halal. Kesedaran dalam kalangan pengguna dalam dan luar negara antaranya kerana proses halal, bukan aspek syarak sahaja, pensijilan halal adalah mengetengahkan halal toyyiban, bersih suci dan selamat dimakan pengguna.

Peningkatan perbelanjaan pengguna dalam pasaran halal juga datang dari bukan Islam kerana permintaan untuk produk bersijil halal juga meningkat kerana lebih ramai pengguna mencari barangan berkualiti tinggi, bersih dan selamat untuk digunakan. Ini dijangka menjana pertumbuhan tambahan di pasaran.

Asia Pasifik sendiri, menyumbang lebih 45 peratus pasaran produk makanan dan minuman halal global dan juga dijangka mempamerkan pertumbuhan yang paling ketara dalam beberapa tahun akan datang.

Pengeluaran sijil halal dilihat ketat bagi memastikan standard halal nombor satu dunia. Adakah kerana ketegasan ini menyebabkan peniaga yang memulakan perniagaan dan peniaga kecil sukar untuk mendapatkan sijil halal?

Apabila membicarakan pensijilan halal dan penyertaan industri ini dalam kalangan Bumiputera, berita ini agak kurang memberangsangkan, peratusan naik dan tarikh luput. Sebanyak 32 peratus pemilik sijil halal dikeluarkan Jakim dan Jabatan Agama Islam Negeri dan selebihnya adalah bukan syarikat Bumiputera.

Antara faktor utamanya ialah kalangan Bumiputera yang menyertai sebagai industri pengeluar kurang daripada syarikat Bumiputera. Jika ada kesediaan industri untuk memohon sijil halal agak kurang, kesedaran industri bukan kepentingan syarikat untuk disijilkan.

Bagaimana Jakim melihat sijil-sijil halal palsu yang digunakan sewenang-wenangnya oleh peniaga terutamanya dalam perniagaan tertentu?

 

Ia berlaku kerana nilai produk pensijilan halal yang membantu pemasaran produk. Kita mendapat maklum balas industri yang tidak miliki sijil halal, selepas memiliki atau dipersijilkan halal, nilai jualan meningkat dari semasa ke semasa.

Perkembangan terakhir, permintaan sijil halal bukan dari industri dalam negara sahaja, tetapi dari luar negara iaitu Korea, China, Jepun, Taiwan dan sebagainya. Ini berlaku kerana keyakinan tinggi terhadap pensijilan Halal Malaysia oleh masyarakat dunia. Kebanyakan negara Timur Tengah mensyaratkan kepada industri untuk pasarkan produk di Timur Tengah, mereka perlu mendapatkan pensijilan halal dari Malaysia.

Persepsi kebanyakan pemohon sijil halal adalah yuran permohonan sijil halal mahal dalam kalangan pengusaha kecil dan mikro, adakah ia benar?

Apabila membicarakan sijil halal, tiga masalah utama yang diketengahkan oleh industri atau Jakim dan Jabatan Agama Islam Negeri iaitu susah untuk memohon, mahal dan lambat. Kenapa payah? kenapa industri tidak bersedia? industri perlu memahami standard dalam Malaysia, manual pensijilan halal.

Jika memahami, tidak ada yang susah. Kenapa orang lain boleh buat, mencapai standard itu, kenapa bukan kita? Industri Mikro yurannya RM100 setahun, satu kadar minima. Mahal RM5,000 kerana khidmat orang tengah, saya suka menyarankan  pengusaha Bumiputera datang berkunjung ke Jakim dan Jabatan Agama Islam Negeri, kami akan membantu.

Mereka boleh memohon secara atas talian ada kaunter komputer untuk membantu industri atas talian. Petunjuk Prestasi Utama (KPI) terbaharu paling lama hanya 14 hari boleh mendapat kelulusan, sekiranya syarikat komited, kelulusan hanyalah tiga hingga empat hari sahaja.

Pensijilan halal Malaysia bukan sahaja bertaraf dunia tetapi menjadi penanda aras dunia. Bagaimanakah negara lain dapat menerima dan menggunakan autoriti seperti pensijilan halal Malaysia sebelum mereka mengeksport produk mereka ke negara ini?

Syarikat luar berusaha memenuhi standard yang ditetapkan untuk memohon pensijilan halal Jakim, setakat ini Jakim mengiktiraf sebanyak 69 badan pensijilan dan logo halal luar yang melibatkan 42 negara. Jakim juga menganjurkan pelbagai program untuk berkongsi pengalaman.

Antara pensijilan halal baharu yang dikeluarkan ialah pensijilan halal peranti perubatan. Apabila kita bercakap tentang memajukan industri halal ini, kita dirujuk dari segala aspek seperti pensijilan, standard, akreditasi, penyelidikan dan pembangunan, makmal, arah tuju dan sebagainya. Kita dirujuk oleh dunia kerana cara pengurusan kita yang sistematik dan praktikal yang berpandukan syarak yang belum wujud sebelum ini di mana-mana.

Prosedur dan proses yang wujud dalam pensijilan halal itu sendiri begitu tinggi piawaiannya sehingga menyebabkan negara-negara lain begitu akur dengan garis panduan yang disediakan Malaysia. Kenapa kredibiliti piawaian kita dilihat begitu tinggi?

Pada 2018 genap 25 tahun kita laksanakan sijil halal di Malaysia berbanding negara lain. Berbanding negara  lain, Malaysia disokong Kerajaan, badan pensijilan halal dan pengesahan adalah agensi kerajaan manakala negara lain pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau persatuan, syarikat swasta yang mementingkan keuntungan.

Isu pemantauan di luar bidang kuasa, Jakim dan Jabatan Agama Islam, kita akan berganding bahu bersama KPDNKK. Kerajaan Malaysia merupakan satu-satunya kerajaan di dunia yang menyokong setiap inisiatif pensijilan halal bagi semua produk yang ada di pasaran. Ini satu kredibiliti yang amat kuat yang tidak terdapat di negara luar. Ini kerana di negara-negara lain, inisiatif ini diwujudkan dan disokong oleh individu atau badan-badan bukan kerajaan.

Sebab yang kedua ialah, Pensijilan Halal Malaysia perlu patuh Shariah iaitu syarat wajib yang diperlukan oleh masyarakat Muslim dunia sebelum membeli sesuatu produk. Selain dari itu, setiap syarikat yang memohon sijil halal Malaysia perlu patuh Good Manufacturing Practice (GMP) dan HACCP (Hazard Analysis and Critical Control Point) yang amat diperlukan bagi memastikan setiap produk itu selamat untuk digunakan.

Akhir sekali sijil halal Malaysia juga dipantau oleh Standards Malaysia, iaitu MS1500:2009 dan beberapa standard lagi yang mana ia perlu dipatuhi dan dikemas kini setiap tahun bagi memastikan kualiti proses yang wujud dalam penyediaan produk itu berterusan.

Setiap kelulusan halal yang diberikan oleh pihak JAKIM dan logo Halal Malaysia itu dengan sendirinya akan menunjukkan kualiti setiap produk itu adalah bermutu tinggi dan selamat digunakan kerana syarat-syarat yang saya sebutkan tadi amat ketat.

Bagaimana pula dengan persaingan dari negara lain, adakah mereka juga mempunyai pensijilan halal seperti yang Malaysia sediakan?

Kita melihat mula wujudnya sedikit persaingan dalam sektor pensijilan halal ini terutamanya dari negara-negara jiran seperti dari Brunei, Indonesia dan Thailand. Pada masa yang sama, kita juga memulakan strategi pengukuhan untuk pensijilan halal Malaysia ini. Pada 2017, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Halal Malaysia, telah membantu menggariskan beberapa strategi penting agar Malaysia terus mempelopori industri ini di peringkat antarabangsa.

Dengan usaha-usaha yang berterusan dari beberapa agensi kerajaan seperti Matrade, Halal Industry Development Corporation (HDC) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan bantuan kementerian-kementerian yang berkaitan untuk terus memacu dan melaksanakan inisiatif yang berimpak tinggi.

Pada masa yang sama, program-program promosi di dalam dan luar negara perlu diperhebatkan lagi. Di sini peranan utama MATRADE dan pameran yang bertaraf dunia seperti Mihas ini sebagai contohnya, mampu menjadi pemangkin dapat membantu negara merealisasikan hasrat negara.

Sempena Mihas, terdapat persidangan Badan-Badan Pensijilan Halal Dunia. Bolehkah kongsikan latar belakang persidangan dan apakah yang dibincangkan?

Persidangan Badan-Badan Pensijilan Halal Dunia ini diadakan setiap tahun, dan tahun 2018 ini adalah tahun yang ke-9 yang diadakan di Putrajaya pada Februari yang lalu. Ahli-ahlinya merupakan badan-badan atau agensi yang diiktiraf Jakim bagi membantu melaksanakan proses dan prosedur pengesahan dan juga kerja-kerja audit piawaian Halal ke atas barangan dan perkhidmatan yang bakal dieksport ke Malaysia dari negara-negara ahli. Di sini kita dapat lihat bahawa proses pengesahan Halal bermula dari negara-negara tersebut sebelum barangan itu sampai di Malaysia.

Persidangan dua hari ini disertai mufti-mufti, para pegawai audit halal yang bertauliah dan juga pegawai-pegawai dari agensi halal yang terlibat dari setiap negara ahli. Perbincangan biasanya akan tertumpu kepada proses dan prosedur Halal yang disediakan oleh Standards Malaysia dan garis panduan yang ada atau yang bakal ditambahbaik agar semuanya dapat berjalan dengan teratur, berkesan dan sistematik. Penekanan juga diberikan terhadap penyelesaian permasalahan yang wujud, cadangan-cadangan yang diajukan dan juga kerjasama yang lebih berkualiti di antara Jakim dengan negara-negara ahli.

Apakah resipi kejayaan sijil halal?

Kejayaan negara ialah mempromosikan pensijilan halal domestik dan antarabangsa. Kesedaran dalam kalangan pengguna tinggi. Pensijilan halal masih bersifat sukarela, boleh memohon atau tidak. Resipi kejayaan kita ialah kita tidak memaksa industri menggunakan pensijilan halal, pengguna meletakkan penanda aras kepada industri, jika ada produk halal kami akan beli, sijil halal, kuasa di tangan pengguna. Jadi fikir-fikirkanlah..