MUMTAZ Meat & Marine Foods Sdn Bhd (Mumtaz Meat & Marine Foods), pengendali rangkaian Az-Zain Halal Mart menyasarkan untuk membuka 500 cawangan menjelang akhir tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Mohamad Zainol Ahmad Haja berkata, syarikat itu optimis sasaran tersebut mampu dicapai memandangkan Az-Zain mempunyai ramai pengedar berpotensi untuk membuka cawangan baharu pasar mini berkonsepkan halal.

“Kami mempunyai lebih 1,240 pengedar termasuk 260 cawangan Az-Zain di seluruh negara. Tidak semua pengedar ini menggunakan nama Az-Zain Halal Mart.

“Disebabkan itu, pada 2018, kami akan memperkemas bahagian perlesenan untuk melonjakkan kedai-kedai Az-Zain pada satu tahap yang baharu supaya ia dapat diselaraskan dari segi pengurusan, standard dan konsep secara berperingkat,” katanya.

Pada masa sama, Mohamad Zainol turut mengalu-alukan mereka yang berminat untuk membuka cawangan baharu Az-Zain menerusi pelesenan dengan modal RM80,000.

“Modal itu merangkumi pembukaan kedai dan kos barang niaga untuk memulakan perniagaan di kawasan strategik di seluruh negara.

“Mereka akan menerima latihan dan bimbingan berterusan daripada syarikat dalam mengembangkan perniagaan. Kami mempunyai kemudahan bilik latihan sendiri di kilang baharu Az-Zain di Semenyih, Selangor,” katanya.

Pada tahun ini, beliau berkata, Mumtaz Meat & Marine Foods menyasarkan jualan sebanyak RM27 juta, berbanding RM17 juta tahun lalu, didorong oleh pembukaan kilang dan rangkaian Az-Zain Halal Mart baharu.

“Pembukaan kilang baharu ini mampu meningkatkan kapasiti pengeluaran Az-Zain dengan memproses 60,000 ekor ayam untuk satu syif iaitu lapan jam kerja, berbanding 5,000 ekor ayam sehari yang diproses secara manual.

“Kilang baharu kami dilengkapi dengan mesin memproses ayam tercanggih, menggunakan teknologi dari Holland. Kami akan mendapatkan persijilan seperti halal, Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP) dan lain-lain untuk kilang ini,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PENGURUSAN kilang keropok udang UMI, Assari Enterprise mengakui jualan produknya jatuh mendadak sehingga 50 peratus selepas tularnya berita berkenaan sebuah kilang keropok udang di Gopeng yang sengaja menggunakan logo sijil halal palsu awal Januari lalu.
  • SEJAUH manakah ia mampu bertahan untuk generasi seterusnya?
  • DAGANG NeXchange Berhad (DNeX) menerusi anak syarikatnya, DNeX Technology Sdn Bhd menandatangani perjanjian perlesenan jenama eksklusif dengan EC-Council International Ltd bagi membekalkan perkhidmatan perundingan dan nasihat keselamatan siber menerusi EC-Council Global Services.
  • Perniagaan teh ais yang dianggap biasa di sekitar bazar Ramadan menjadi luar biasa apabila menggunakan kaedah promosi dan menjaga kesedapan minuman tersebut sehingga menyebabkan pelanggan akan beratur pada setiap hari.