KUALA LUMPUR - Puncak Niaga Holdings Berhad (PNHB) dipilih sebagai penerima Anugerah Socrates dalam upacara penganugerahan sempena Persidangan Pemimpin-pemimpin Oxford di Oxford, United Kingdom.

Anugerah itu disampaikan kepada Pengerusi Eksekutif PNHB, Tan Sri Rozali Ismail sempena persidangan itu yang bermula 25 Oktober dan berakhir semalam.

Anugerah Socrates mengiktiraf ahli-ahli perniagaan elit di peringkat global yang sentiasa berusaha melalui kaedah tersendiri untuk menggalakkan pertukaran idea dan pengalaman dalam kalangan masyarakat antarabangsa dalam bidang ekonomi, politik, pendidikan dan kebudayaan.

“Anugerah ini membuktikan keupayaan cemerlang PNHB dalam mengurus dan mengendali projek bekalan air berskala besar di Malaysia, khususnya di Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur,” kata Rozali dalam satu kenyataan, semalam.

Ia juga sebagai menghargai sumbangan PNHB terhadap pembangunan ekonomi di Malaysia dan beberapa buah negara seperti China dan India, kata beliau.

Rozali menarik perhatian bahawa walaupun PNHB telah beroperasi di negara-negara membangun, ia tidak akan melupakan peranan utamanya dalam membekalkan air bersih ke kawasan ‘Greater Kuala Lumpur’ merangkumi 7.5 juta pengguna, termasuk sektor industri dan komersial.

Penerima anugerah perlu melalui proses pemilihan oleh Jawatankuasa Socrates Antarabangsa yang memilih calon paling layak dan mempunyai pencapaian profesional yang tinggi. -Bernama