Kepada mereka yang kreatif dan mempunyai jiwa romantis, pasti mahu memberi kejutan kepada orang tersayang ketika menyambut tarikh-tarikh istimewa. Selain hadiah yang dianggap penting, kek juga adalah antara kejutan yang sering menjadi pilihan.

Melihat gaya hidup tersebut, pemilik Dee Baker Kemaman (DBK), Siti Khadijah tidak melepaskan peluang menjadi salah satu daripada pusat sehenti yang menawarkan barangan cenderahati menarik selain penyediaan kek me­ngikut cita rasa pelanggan.

“DBK menawarkan pelbagai cenderahati menarik sebagai hadiah selain perkhidmatan membuat kek dan pencuci mulut untuk pelanggan yang berhasrat mengadakan sesuatu keraian.

Setiap yang kami hasilkan adalah bergantung kepada cita rasa pelanggan pada harga berpatutan,” katanya kepada Sinar Harian.

Bercakap mengenai segmen niaga pembuatan dan penjualan kek yang ditawarkan di DBK, Siti Khadijah berkata, selain menekankan aspek halal dan kebersihan DBK turut mementingkan kesegaran produk yang dijual.

Menurutnya, sejak memulakan operasi perniagaan ini setahun lalu, DBK berjaya meraih keuntungan purata bulanan sekitar RM2,000.

“Melihat kepada sambutan yang diterima dan strategi perniagaan yang di­guna pakai kini, DBK yakin purata perolehan tersebut akan meningkat kepada RM4,000 sebulan menjelang tahun-tahun akan datang,” katanya sambil memberitahu DBK sering mengadakan promosi pengenalan dan diskaun sebagai salah satu cara menghargai pelanggan.

Menurutnya, perniagaan yang dikendalikan ini tidak hanya memberi fokus kepada segmen gubahan cenderahati semata-mata, malah turut mem­pelbagaikan perkhidmatan termasuk khidmat penghantaran dan kurier kepada pelanggan yang membuat tempahan.

Mengimbau kembali sewaktu penglibatannya dalam perniagaan ini, Siti Khadijah memberitahu, modal yang dilaburkan adalah sekitar RM3,000.

“Modal awal adalah hasil simpanan peribadi. Meng­gunakan wang tersebut saya membeli ketuhar, alat pengadun dan lain-lain perkakasan serta peralatan membuat kek,” katanya yang kini berpuas hati kerana produk kek keluaran DBK mendapat sambutan positif daripada pelanggan tetap mahu pun yang baru.

Siti Khadijah berkata, antara produk dijual termasuklah kek kukus; pu­dding trifle; dodol; wajik; bahulu; puding; dan jeli macaron.

“Terpanggil untuk berkongsi kemahiran dan bakat pemberi ALLAH dengan orang lain, saya mengadakan kelas memberi tunjuk ajar dalam proses pembuatan coklat, kek cawan dan apam ais krim,” katanya.