TERDAPAT satu ungkapan lama popular ‘Penny Wise Pound Foolish’ yang boleh difahamkan dengan maksud bijak mengurus wang atau perbelanjaan secara kecil-kecilan tetapi kurang mahir dalam perbelanjaan yang besar.

Dalam erti kata lain, ia merujuk kepada seseorang yang begitu cermat menyimpan atau mengurus perbelanjaan kecil tetapi tidak menghiraukan kerugian atau perbelanjaan yang besar.

Sebagai contoh, terlampau teliti dengan penggunaan elektrik dan air tetapi di luar asyik berbelanja dengan kawan dan suka memiliki barangan berjenama walaupun di luar daripada kemampuan.

Kebanyakan daripada kita memilih jalan yang mudah dalam pengurusan perbelanjaan dengan mengikut bajet bulanan yang dibuat.

Tetapi, adakah dengan cara sedemikian kita dapat memperbaiki pengurusan wang simpanan atau meningkatkan jumlah wang simpanan kita?

Berikut adalah beberapa contoh:

1.     Membayar premium insurans dengan jumlah yang banyak.
Sesetengah masyarakat mengambil premium insurans dengan pakej yang mahal kerana mereka tidak tahu bagaimana untuk menambah kewangan mereka.
Objektif utama kita membeli insurans ialah untuk melindungi diri dan orang yang kita sayangi daripada bebanan kewangan apabila berlakunya sesuatu kecemasan atau kejadian yang tidak diduga. Pilihlah pakej insurans yang berekonomi tetapi memberi faedah yang banyak supaya lebihan wang daripada pembayaran premium boleh disalurkan kepada tabung simpanan.

2.     Gagal untuk menambah simpanan apabila pendapatan meningkat.
Adalah perkara biasa apabila seseorang itu meningkatkan taraf hidup mereka apabila pendapatan mereka bertambah.
Ini merupakan sifat yang biasa kerana mereka inginkan kehidupan yang lebih selesa.
Sifat ini adalah tidak digalakkan.
Mengapa tidak anda menambahkan simpanan anda setiap kali pendapatan anda meningkat?

3.     Tidak menambahkan pulangan dalam simpanan.
Satu kesilapan yang biasa kita lakukan ialah menyimpan wang yang banyak tanpa mengusahakan sebarang dana pelaburan yang boleh memberi pulangan yang baik.
Terdapat pelbagai jenis pelaburan yang boleh anda bandingkan dari segi undang-undang dan risiko.
Peluang anda untuk menjana lebih kekayaan ialah melalui pelaburan yang mempunyai risiko yang rendah dan sah di sisi undang-undang.
Perlu diingat, anda tidak perlu melabur kesemua wang anda dalam satu pelaburan sahaja, tetapi pelbagaikan pelaburan anda.

Contoh lain termasuk:

-     Tidak membeli banyak pakaian mahal tetapi menghabiskan duit menukar almari pakaian kerana kualiti rendah. Ini tidak bermaksud anda perlu membeli pakaian mahal, tetapi pastikan anda menikmati nilai wang terhadap barangan yang anda beli itu.
-     Menerima surat saman akibat tidak membayar parking bermeter.
-     Membeli barangan secara pukal ketika jualan murah dan akhirnya membuang barang itu akibat lebihan atau melebihi tarikh luput
-     Pada bulan Ramadan, kebanyakan kita membeli banyak makanan untuk berbuka dan terpaksa buang makanan itu kerana tidak mampu menikmati kesemua juadah
-     Memberi duit raya kepada adik-beradik dan sanak saudara secara berlebihan tanpa menyedari status kewangan selepas musim perayaan
            

Seperti yang anda lihat, ‘Bijak apabila sedikit, kurang cermat apabila banyak’ boleh mengajar kita cara membuat keputusan kewangan.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.