SHAH ALAM – Kerajaan tidak menghalang hubungan perdagangan antara syarikat swasta negara ini dengan Israel malah kapal milik Israel dibenar berlabuh bagi tujuan berkenaan dengan syarat anak kapal yang memegang pasport Israel tidak dibenarkan mendarat.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, isu mengenai kehadiran kapal Israel sengaja dimanipulasi pembangkang bagi menimbulkan salah faham berhubung kenya­taan tiada hubungan diplomatik antara Malaysia dan Israel.
 
“Tiada hubungan diplomatik bermaksud tiada interaksi antara kedua-dua kerajaan. Perdagangan yang wujud adalah urusan pihak swasta dari kedua-dua negara dan kerajaan Malaysia tidak menghalangnya.
 
“Kenyataan wakil Barisan Nasional (BN) yang selalu menyebut tiada hubungan diplomatik antara Malaysia dan Israel sengaja diputarbelitkan oleh Pakatan Rakyat (PR),” katanya melalui sistem pesanan ringkas kepada Sinar Harian, semalam.
 
Mukhriz berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan pembangkang mempersoalkan kehadiran dua kapal, Zim USA dan Zim Atlantic milik syarikat Israel, Zim Integrated Shipping Services Limited (ZISS) yang dilihat berlabuh di Westport pada 16 Februari lalu.
 
Beliau berkata, sebelum ini, isu mengenai kehadiran kapal milik Israel sering digembar-gemburkan pembangkang dan telah beberapa kali dijawab di Parlimen.
 
“Ini bukan perkara baru, malah telah dijawab di Parlimen sebelum ini. PR bangkitkan isu ini untuk menutup penghinaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap pejuang keadilan yang menganggap rejim Israel sebagai pengganas paling zalim dan keselamatan mereka tidak sepatutnya dipertahankan.
 
“Kerajaan BN tidak iktiraf Israel sebagai negara berdaulat, ini jauh berbeza dengan kenyataan Anwar bahawa beliau mempertahankan untuk menjamin keselamatan yang sekali gus bermaksud beliau mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara.
 
“Kita harus ingat sekuriti dalam konteks Israel bermaksud tindakan militari yang menzalimi Palestin dan negara jiran yang lain. Perlukan Malaysia pertahankan kezaliman pengganas Zionis atau membela nasib pihak yang dizalimi?,” katanya.
 
Mukhriz turut menegaskan kenyataan Anwar telah mencemari nama baik negara dalam kalangan pencinta keamanan dan mengotori usaha memihak kepada Palestin sejak zaman Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.