MELIHAT potensi pelbagai produk dan perkhidmatan yang ditawarkan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan di luar negara mendapat sambutan yang memberangsangkan, syarikat Emperor Secure Management Sdn Bhd (Emperor Secure) optimis peluang cerah untuk produknya sistem pagar lipat tanpa tayar dan trek yang dikenali sebagai Emperor Gate menembusi pasaran luar negara.

Pengarah syarikat, Nor Jalilah Abd Jalil berkata, walaupun ia merupakan produk keselamatan, beliau mahu kembangkan di pasaran luar kerana mempunyai permintaan tinggi di sana.

Menurutnya, dengan adanya pelbagai kemudahan dan bantuan kepada usahawan yang disediakan kerajaan, syarikat yakin perniagaan mereka dapat dikembangkan ke luar negara.

"Setakat ini, beberapa produk syarikat di eksport ke Indonesia, Kemboja dan Iraq. Melihat kepada potensi permintaan produk itu yang diiktiraf di luar negara, kami mencari pengedar di negara tersebut dan merancang menembusi pasaran Eropah.

"Ia boleh customade, berkualiti dan dengan harga yang berpatutan, ia berpotensi untuk kami eksport," katanya pada majlis memperkenalkan Emperor Gate, baru-baru ini.

Nor Jalilah berkata, permintaan terhadap pagar moden itu semakin bertambah dan syarikat mengunjurkan jualan sehingga 300 set pada suku pertama tahun depan.

"Jumlah ini dicapai sekiranya syarikat memiliki jumlah pengedar yang mencukupi di seluruh negara dan luar negara. Emperor Gate adalah inovasi ciptaan pagar moden yang bersesuaian dipasang di semua jenis keadaan tanah kerana ia tidak memerlukan trek untuk menyokong tayar pagar seperti pagar tradisional," katanya.

Turut hadir Pengarah Pembangunan syarikat, Daniel Danish Lok Abdullah.

Mengenai produk tersebut, Nor Jalilah berkata, dengan ketiadaan trek di atas permukaan lantai, proses membersihkan halaman rumah lebih mudah dan juga tiada lagi berlaku air atau sampah yang bertakung di sekitar trek pagar tersebut.

"Air dan sampah yang bertakung merupakan salah satu punca kepada tayar pagar tradisional boleh berkarat dan ini akan menyebabkan tayar cepat rosak.

“Menurut kajian, setiap tiga hingga empat bulan tayar pagar tradisional perlu diganti dan kos pembaikannya adalah serendah RM400.

Tambah beliau, saiz pagar yang ditawarkan ialah antara 12 kaki hingga 80 kaki dengan harga serendah RM6,000.

“Bagaimanapun, kos tempahan Emperor Gate ini lebih rendah antara 30 hingga 40 peratus daripada pesaing kerana syarikat memiliki kilang pembuatan sendiri, malah ketahanan pagar moden ini dapat memberi penjimatan daripada membayar kos pembaikan tayar pagar tradisional,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KERAJAAN akan terus menyokong Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dengan memperuntukkan sebanyak RM22.2 bilion bagi pelaksanaan program pembangunan PKS, peningkatan ketara dalam jumlah peruntukan berbanding tahun sebelum ini.
  • USAHAWAN perusahaan kecil dan sederhana (PKS) adalah kelompok perniagaan terbesar iaitu 98.5 peratus daripada jumlah perniagaan di negara ini.
  • AMBANK (M) Berhad memperkenalkan penyelesaian pembiayaan dikenali sebagai SME Biz Property Extra untuk bantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berkelayakan dalam pembelian hartanah (pembiayaan aset).
  • KUMPULAN AmBank, menawarkan inisiatif pembiayaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menerusi pelancaran AmBank BizRace.