SAMBUTAN menggalakkan terhadap kaligrafi khat dalam kalangan pelancong mendorong Fazillah Abdul Rahman berkecimpung dengan lebih aktif sejak 2007.

Setiap produk kaligrafi dihasilkan sentiasa mendapat tempat di hati masyarakat dan kini permintaan diterima semakin menggalakkan.

Sebagai pengusaha khat, Fazillah dan suaminya sentiasa mengetengahkan reka bentuk terkini dan setiap proses dilakukan dengan sendiri.

Menurutnya, peluang menyertai kraf tangan Malaysia ke United Kingdom (UK), Dubai, Jerman, Itali, Hong Kong dan Birmingham menjadi platform kepadanya mengetengahkan produk ke pasaran luar.

“Setiap kali menyertai pameran luar negara, kami akan membawa 125 khat dan pastinya ia akan habis dijual.

“Hampir lima tahun beroperasi, purata 15,000 bingkai dapat dihasilkan setiap bulan,” katanya kepada Sinar Harian.

Fazillah berkata, pembuatan setiap produk kini dilaksanakan secara manual dan juga penggunaan mesin tertentu.

Katanya, bagi pasaran Malaysia, syarikat telah menembusi Terengganu, Pahang, Perak, Pulau Pinang, Selangor dan Lembah Klang.

“Harga jualan bagi setiap produk adalah antara RM35 hingga RM3,000 bergantung kepada pemilihan saiz bingkai dan penggunaan bahan.

“Saya bercadang membuka kedai dan menambah tiga mesin dalam masa dua tahun bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran produk kepada 50,000 bingkai,” katanya.

 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.