FAREEDA Global Resources Sdn Bhd (Fareeda) menafikan mengupah orang untuk berebut mengambil nombor giliran bagi mendapatkan koleksi terbarunya, Persia Sweet Love, seperti yang diviralkan di laman sosial, baru-baru ini.

Pengurus Pemasarannya, Fizo Omar berkata, sebaliknya kebanyakan pelanggan yang datang pada hari tersebut merupakan ejen tudung Fareeda dan mereka yang membayar upah kepada orang lain untuk mendapatkan nombor giliran.

Katanya, situasi itu sering terjadi setiap kali Fareeda melancarkan koleksi tudung terbarunya.

“Memang mereka dibayar tetapi bukan oleh Fareeda. Untuk pengetahuan, setiap nombor yang dikeluarkan terhad untuk membeli empat tudung sahaja.

“Ada sesetengah ejen yang mengupah orang lain untuk beratur mengambil nombor giliran. Saya dimaklumkan, pada hari tersebut satu nombor boleh mencecah RM80. Ada yang tidak beli tudung tetapi jual nombor giliran, itu yang mereka berebut-rebut,” katanya dalam sidang media, di sini, semalam.

Turut hadir, Pengarah Fareeda Global Resources Sdn Bhd, Mawar Abdul Karim, Pengarah Urusan Fareeda, Aminuddin Basiron dan Perunding Harta Intelek Fareeda, Norunnuha Nawawi.

Sebelum ini, tersebar video di laman sosial yang memaparkan kekecohan di butik Fareeda di Bandar Baru Bangi disebabkan pelanggan berebut mendapatkan nombor giliran untuk koleksi Fareeda Sweet Love.

Disebabkan itu, timbul dakwaan mengatakan Fareeda mengupah orang ramai untuk berlakon berebut nombor giliran sebagai strategi pemasaran jenama tudung terkenal itu.

Mengulas lanjut, Fizo berkata, fenomena pelanggan beratur di butik Fareeda sudah bermula sejak 2011 lagi.

“Sebelum ini, ada pelanggan bermalam di luar butik kerana kita beri nombor giliran seawal jam 8 pagi. Jadi kita tukar sistem dengan beri nombor pada sebelah petang,” katanya.

Bagaimanapun, katanya pelanggan yang beratur pada hari tersebut sejak jam 12 tengah hari mula bertindak agresif menyebabkan pemberian nombor giliran terpaksa diawalkan dari jam 5 petang ke jam 3.30 petang.

“Pihak Fareeda telah menyediakan 20 pasukan Rela dan pengawal serta 30 staf bagi mengawal keselamatan. Namun, menjelang jam 3 petang ada kumpulan yang mula merempuh barisan.

“Pengawal keselamatan yang bertugas juga sudah tidak dapat mengawal keadaan dan pelanggan mula bercampur antara lelaki dan perempuan. Keadaan ini di luar jangkaan kami,” katanya.

Sehubungan itu, Fizo berkata, Fareeda berjanji akan memperbaiki sistem penjualan keluaran koleksi terbaru tudung pada masa akan datang.

Katanya, ini termasuklah membuat jualan di tempat yang lebih luas seperti stadium dan menambah baik kawalan keselamatan bagi keselesaan peminat Fareeda.

Corak tudung bukan hak milik Fareeda Dalam sidang media berkenaan, Fizo turut menjelaskan kekeliruan mengenai corak tudung Persia Sweet Love yang dikatakan sudah pernah digunakan beberapa tahun lalu.

Menurutnya, corak tersebut bukan hak milik Fareeda dan mereka tidak mendaftarkannya di Perbadanan Harta Intelek (MyIPO).

Sebaliknya, kata beliau, hanya rekaan tudung (ID) iaitu cara sambungan, jahitan dan bentuk siap setiap tudung yang didaftarkan.

“Setiap corak kain yang digunakan diimport dari luar negara dan ia bukan buatan sendiri. Corak yang dikeluarkan bergantung kepada pengeluar dan pemilihannya bergantung kepada trend semasa.

“Misalnya, corak Sweet Love telah pun dikeluarkan Fareeda pada 2012 dengan ID berbeza, Namun atas permintaan peminat kami keluarkan corak sama dengan ID yang lain,” katanya.