SYARIKAT pelaburan tempatan, Hawa Ghazzali Holdings Bhd akan memasarkan rangkaian produknya Hawa Ghazzali Collection (HGC) di tiga pusat membeli-belah terkenal sekitar Lembah Klang, bulan depan.

Naib Pengerusi Hawa Ghazzali, Datin Lynda Ghazzali berkata, koleksi itu akan dipasarkan di butik Robinson, The Gardens pada 19 April depan diikuti di Isetan KLCC dan One Utama Damansara pada 1 Mei.

"Pembukaan butik di lokasi baru ini dapat meluaskan pasaran HGC yang mula dipasarkan Disember lalu melalui cawangan Hawa Ghazzali di Taman U-Thant, Kuala Lumpur,” katanya pada majlis pameran koleksi HGC di Kuala Lumpur, kelmarin.

Majlis itu turut dihadiri Pengurus Cawangan CIMB Bank, Wahyunah Omar dan Penolong Pengurus Besar Robinsons Spencer Lau.

Lynda berkata, HCG dan CIMB turut menjalin kerjasama dengan saling mempromosi produk mereka kepada pelanggan terdiri daripada peminat aksesori wanita dan pemegang akaun CIMB.

HGC adalah rangkaian koleksi subang, rantai, gelang, permata yang direka berdasarkan idea Lynda sendiri, selain menjual beg tangan, kaftan, kasut dan produk kecantikan wanita.

“HGC direka untuk kanak-kanak sehingga golongan dewasa. Ia istimewa kerana rekaan unik dan segala aspek termasuk bahan asas dan seni pembuatan dilakukan di Itali.

“Namun HGC mengambil inspirasi daripada budaya Malaysia seperti bunga raya dan bunga songket untuk rekaannya,” katanya.

Sebanyak 10 peratus daripada setiap pembelian produk HGC di tiga lokasi baru itu akan diderma kepada Institut Jantung Negara.