PENGGUNAAN herba yang merupakan tumbuhan semula jadi di negara ini mendapat tempat dalam kalangan masyarakat Malaysia, dilihat berpotensi untuk membantu pertumbuhan ekonomi negara. 

Herba digunakan meluas terutama dalam penghasilan produk dalam industri farmaseutikal, ubatan tradisional, penjagaan kesihatan, makanan dan minuman kesihatan, kosmetik, pewarna, perisa dan pewangi.

Mahu memperkenalkan kebaikan herba dari hutan tropika Malaysia di peringkat antarabangsa, Syarikat Gitex Global Exhibition Services akan menganjurkan Pameran Herbal Asia 2017 kali ke-10 yang bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, Kuala Lumpur pada 20 hingga 22 September depan, bertemakan 'Towards Sustainable Marketplace for Herbal, Green, Natural Product & Services'.

Penganjur yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Gitex Global Exhibition Sdn Bhd dan pengasas Pameran Herbal Asia, Hajah Safinah Yaakob berkata, pameran itu menyasarkan RM10 juta jualan dan transaksi berbanding RM5 juta pada siri kesembilan lalu.

“Setakat ini, 200 pempamer akan ambil bahagian dalam pameran tersebut. Kami menjangkakan banyak transaksi dapat dimeterai selepas acara itu dengan kemungkinan syarikat memesan bahan mentah selain usaha sama dan kerjasama tentatif dengan syarikat tempatan.

“Dengan matlamat meningkatkan standard antarabangsa pameran itu, Investor Exchange diadakan dengan sasaran untuk membawa masuk pelabur luar dalam memacu inovasi dan peluang,” katanya kepada Sinar Harian, baru-baru ini.

Safinah berkata, Herbal Asia menjadikan Malaysia sebagai antara hab dagangan utama di Asia Tenggara dan melalui pameran itu, pelabur asing menyedari terdapat sumber yang belum dimanfaatkan dalam negara yang perlu diterokai. 

"Melalui permintaan dan pemadanan online yang diterima, pelawat berdaftar ingin melabur di Malaysia kerana Malaysia mempunyai herba berkualiti yang dapat menepati permintaan pasaran kesihatan dunia," katanya. 

Tambahnya, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau dijangka bakal merasmikan acara itu pada 20 September ini dan majlis penutup pula dirasmikan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya keesokannya. 

“Herbal Asia 2017 juga akan mengadakan majlis meraikan media dalam dan luar negara untuk memperkenalkan herba dan bahan semula jadi, manakala Investor Exchange akan diadakan 19 September," katanya.

Potensi ketum, merungai

Pada pameran kali ini, antara herba dan bahan semula jadi yang diketengahkan ialah ketum, merungai dan spirulina yang berpotensi besar dalam industri herba. 

Safinah berkata, antara topik berkaitan ketum yang akan dibincangkan ialah cara penggunaan dan kebaikan ketum dalam kehidupan seharian serta undang-undang mengenai penyalahgunaan ketum. 

“Sejak zaman berzaman, ketum menjadi antara herba yang digunakan dalam membantu mereka yang cirit birit, kencing manis, gout, kecacingan, memberikan sumber kekuatan tenaga, darah tinggi dan membaiki peredaran darah,” katanya.

Bagaimanapun, jika penggunaannya secara salah, ia berbahaya dan menyebabkan penggunanya ketagih.

“Ia penting untuk dibincangkan supaya pengusaha herba yang mengkomersialkannya dapat didedahkan mengenai penggunaannya dengan cara yang betul, ketum digunakan sebagai rawatan alternatif dan penyelidikan. Negara memerlukan usaha untuk menyelidik potensi dan khasiat ketum supaya ia dapat memberikan manfaat kepada penggunanya,” katanya. 

Safinah berkata, selain ketum, merungai atau kacang kelur dan spirulina juga akan dibincangkan pada pameran itu kerana kedua-dua herba itu kini mula dikomersialkan syarikat tempatan.

“Persidangan ini akan membincangkan mengenai industri baharu yang boleh menjadi sumber pendapatan. Peluang ini perlu direbut usahawan pertanian dan pengusaha bahan mentah kerana spirulina mempunyai sumber protein dan kalsium tinggi yang sesuai digunakan untuk kecantikan dan farmaseutikal. 

“Pameran ini beri peluang kepada pengusaha tempatan mengadakan kerjasama dengan syarikat luar untuk melihat potensi ketiga-tiga herba ini menembusi pasaran antarabangsa,” katanya.

14 penceramah terlibat

Setelah 10 kali pameran ini diadakan, Safinah mahu industri herba Malaysia ke peringkat antarabangsa serta mengetengahkan industri herba dengan lebih profesional dan mampan.

“Persidangan ini ketengah potensi dan isu herba serta inovasi terkini dengan menampilkan pakar dalam dan luar negara walaupun kesediaan industri agak perlahan disebabkan permintaan dari industri itu sendiri.

“Kami bawa pemain industri herba ke satu platform yang berdaya saing, ada rantaian permintaan dan penawaran konsisten. Kami jangka penambahan 15 peratus pertumbuhan tahunan penggunaan produk bahan mentah, penglibatan syarikat produk tempatan, malahan dengan adanya Herbal Asia membantu mengetengahkan industri herba tempatan ke pasaran luar dengan konsisten setiap tahun,” katanya.

Safinah berkata, pada tahun ini, seramai 14 penceramah dalam dan luar negara akan berkongsi inovasi herba dan kejayaan beberapa negara seperti Taiwan, China, India dan Jerman.

“Negara-negara ini berjaya menginovasi herba dan jadikan produk untuk penuhi kehendak industri kesihatan, farmaseutikal, kecantikan dan sebagainya,” katanya.

Dalam pameran itu, kebanyakan peserta baharu adalah dari India, China, Singapura, Taiwan, Ghana, Thailand dan Mesir manakala selebihnya merupakan peserta tempatan, dengan sasaran 10,000 pelawat.

Sehingga kini, Syarikat Gitex Global Exhibition Services juga terlibat penanaman tumbuhan herba dan mempunyai dua rangkaian produk iaitu Malay Tea dan produk berasaskan minyak kelapa dara.

Syarikat itu juga akan melancarkan produk baharu iaitu minyak wangi berasaskan herba September nanti.

Untuk maklumat lanjut, layari www.herbalasia.biz atau Facebook, myherbalasia.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • DILIHAT mempunyai potensi tinggi dalam pertumbuhan ekonomi negara, industri herba semakin berkembang saban tahun disokong penerimaan orang ramai terhadap penggunaan produk berasaskan herba.
  • INDUSTRI kopi di negara ini terus berkembang dan menjadi salah satu minuman paling popular yang dinikmati semua lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa.
  • SEBUT sahaja kayu manis, pasti ramai sudah tahu rupa bentuk rempah ratus ini yang sering digunakan sebagai bahan dalam masakan.
  • INDUSTRI penerbitan filem iklan di negara ini dijangka suram pada tahun ini kerana situasi ekonomi yang tidak menentu.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.