SIAPA sangka daripada seorang yang meminati bidang perakaunan dan bekerja dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) suatu ketika dahulu, kini beliau menjadi usahawan seni kaligrafi Islam menggunakan gabungan abstrak dan tulisan khat.

Itulah yang dilalui oleh Muhammad Faisal Alwie yang tidak mempunyai sebarang kelayakan mahupun pengalaman dalam bidang seni, namun akhirnya memulakan perniagaan dengan menceburi bidang tersebut.

Menurut Muhammad Faisal, beliau tidak pernah merancang untuk menjadi usahawan memandangkan minatnya lebih kepada perakaunan dan juga muzik ketika itu.

“Saya memang mempunyai kumpulan muzik sendiri dan entah macam mana dalam pada masa sama timbul ilham untuk saya melukis kaligrafi Islam dan memuat naiknya dalam akaun Facebook saya.

“Dari situ saya dapat pelbagai komen positif dan ramai bertanya adakah itu hasil tangan saya dan ada di antara mereka mula menempah lukisan tersebut,” katanya ketika ditemui di Shah Alam, baru-baru ini.

Beliau yang juga merupakan graduan Politeknik Port Dickson, Negeri Sembilan berkata, kali terakhir mempelajari tulisan khat adalah ketika berada di tingkatan tiga.

“Masa itu saya mempelajari khat di salah sebuah sekolah menengah di Chemor, Perak dan ia hanya sementara sahaja dan kemudian saya sudah tidak mempelajarinya.

“Tetapi ilmu yang dipelajari itu masih ada dan itulah yang saya gunakan mula-mula berniaga dan sampai sekarang saya masih lagi mempelajari seni kaligrafi Islam dan juga khat bagi menambah baik penulisan saya,” katanya.

Mula melukis sekadar suka

Muhammad Faisal berkata, selepas mengambil risiko menerima tempahan melalui Facebook, beliau yakin untuk meneruskan perniagaan itu secara sambilan memandangkan permintaan sentiasa ada.

“Jadi saya ambil keputusan berniaga secara sambilan dan hanya menjalankan perniagaan melalui atas talian (online) sahaja memandangkan saya masih bekerja di LHDN ketika itu.

“Kemudian, saya ambil keputusan untuk buka kedai sendiri di Rawang memandangkan permintaan tempahan meningkat dan saya memerlukan ruang untuk melukis dan mencari ilham,” katanya.

Menurutnya, selepas menyedari beliau perlu memberi perhatian dan komitmen sepenuhnya kepada perniagaan, dia akhirnya mengambil keputusan untuk berhenti bekerja dengan LHDN pada 2014.

“Pada Ogos 2014 saya membuat satu lagi keputusan penting apabila memberanikan diri untuk menutup kedai di Rawang dan berpindah ke Shah Alam memandangkan banyak permintaan yang saya terima dari Shah Alam,” katanya.

Muhammad Faisal juga berkata, Shah Alam merupakan lokasi yang strategik bagi beliau mengembangkan perniagaannya masa akan datang.

Dua minggu tanpa jualan

Sebut sahaja usahawan yang berjaya bertahan dalam dunia perniagaan pasti mereka ada rahsia kejayaan dan kesusahan yang pernah ditempuhi dalam mengukuhkan perniagaan mereka.

Begitu juga Muhammad Faisal yang pernah hampir berputus asa di pertengahan jalan dalam dunia perniagaan apabila beliau diuji dengan tidak mendapat sebarang hasil jualan untuk tempoh dua minggu.

“Ujian terbesar saya bila tidak mendapat sebarang hasil jualan daripada lukisan saya selama dua minggu. Masa mula-mula tiada jualan saya tidak tahu berapa lama lagi ia akan berlarutan sehingga tidak senang duduk.

“Masa tu saya sudah kelam kabut memikirkan mana nak pusing duit untuk modal, bayar sewa kedai, bil perniagaan, sewa kereta. Bayangkan semua sekali berada dalam fikiran pada satu masa,” katanya.

Beliau yang hampir berputus asa kemudian mengambil keputusan untuk memberi ruang kepada dirinya mencari semula di mana silapnya di sebalik masalah yang melanda dan mencari jalan penyelesaian.

“Saya ambil masa tiga hari bercuti dan fikir sedalam-dalamnya dan mencari semangat yang hilang dengan berfikir secara positif menganggap ia adalah sebahagian daripada cabaran dalam dunia perniagaan.

“Alhamdulillah saya berjaya menempuhi ujian tersebut dan kembali bangun meneruskan perjuangan selain mendapatkan nasihat dan motivasi daripada mereka yang berjaya dalam dunia perniagaan,” katanya.

Lebih 10 lukisan dijual sebulan

Ditanya mengenai tempahan lukisan kaligrafi Islam olehnya, Muhammad Faisal berkata, di awal permulaan beliau menerima tempahan di antara tiga ke lima lukisan sebulan daripada pelanggan.

“Tetapi sekarang Alhamdulillah saya menerima tempahan lebih daripada 10 lukisan dalam satu bulan mengikut permintaan pelanggan.

“Dari segi harga yang saya tawarkan ia bergantung kepada saiz dan jenis lukisan yang saya jual, daripada serendah RM30 hingga beribu ringgit,” katanya.

Menurutnya, lukisan buatannya juga bukan sahaja mendapat tempahan dari dalam Malaysia, malah ke luar negara seperti Indonesia, Singapura dan Brunei.

"Saya banyak menerima tempahan pelanggan untuk melukis nama mereka mahupun keluarga mereka dalam pelbagai bentuk seperti pokok dan burung merpati," katanya.

$content.code.value
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.