KUALA LUMPUR -- Bursa Malaysia berkemungkinan mengalami trend kukuh minggu depan dengan data ekonomi tempatan dan Amerika Syarikat yang teguh, minat risiko bertambah baik serta sentimen serantau yang kukuh, kata para peniaga.
Ketua Peruncitan Affin Investment Bank Dr Nazri Khan berkata para pelabur berhati-hati tetapi masih optimistik bahawa kebuntuan berhubung pakej menyelamat Greece berjumlah 130 bilion euro mungkin selesai tidak lama lagi bagi mengelak sistem kewangan Eropah mengalami kegawatan.
Secara keseluruhan, terdapat petunjuk pasaran global mengetepikan krisis di zon euro dan perlahan-lahan pulih, kata beliau.
Dari segi teknikal, terdapat situasi positif untuk menyokong momentum menaik ke arah paras tinggi baru-baru ini pada 1,566, dengan halangan berikutnya daripada paras tertinggi pertengahan Julai pada 1,581 dan tertinggi
1,597.
"Paras sokongan akan datang daripada purata pergerakan 10 hari hampir 1,550 diikuti oleh purata pergerakan 50 hari hampir 1,510 dan akhirnya purata pergerakan 200 hari yang kini hampir paras sokongan psikologi kukuh 1,500,"
katanya.
Di pasaran dalam negara, Nazri berkata terdapat dua pemangkin utama untuk mengekalkan sentimen harga minggu depan dalam bentuk kenaikan harga minyak dan harga bon tempatan (yang mempunyai hubungan positif dengan harga FBMKLCI).
"Kita tahu minyak mentah AS pada paras tinggi dalam masa tujuh minggu (melepasi paras harga psikologi US$100), manakala minyak mentah North Sea Brent didagangkan hampir paras tinggi lapan bulan (melepasi paras harga US$120) setelah pembeli membuat bekalan semasa ketegangan geopolitik antara Iran dan AS.
"Kami percaya pengukuhan harga minyak akan memberi sokongan ekuiti tempatan memandangkan status Malaysia sebagai pengeksport bersih dan sektor minyak dan gas," jelas beliau.
Beliau juga berkata akan terdapat perkembangan positif dalam pasaran bon tempatan dengan harga Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) kekal pada paras agak tinggi.
"Kami menyifatkan kekuatan dalam perbendaharaan jangka panjang berikutan aliran masuk dana yang lebih baik (aliran masuk ke dalam pasaran bon sehingga 40 peratus tahun ke tahun kepada RM103 bilion) dan keputusan Bank Negara Malaysia untuk mengekalkan dasar monetari mudah akan memberi faedah kepada pasaran ekuiti dalam jangka sederhana," katanya.
Bagi minggu yang baru berakhir, pasaran agak kurang memberangsangkan berikutan perkembangan yang lemah dalam zon euro, terutama terhadap bantuan menyelamat kedua Greece.
Bagi asas Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI susut 4.51 mata kepada 1,557.15 daripada 1,561.66, dan Indeks Kewangan menokok 4.06 mata kepada 13,863.47.
Indeks Perladangan turun 56.99 mata kepada 8,821.29 dan Indeks Perusahaan menambah 0.83 mata kepada 2,902.11.
Indeks FBM Emas susut 56.90 mata kepada 10,826.86, Indeks FBM 70 berkurangan 160.28 mata kepada 12,331.55 manakala Indeks FBM Ace lebih rendah sebanyak 47.81 mata kepada 4,697.78.
Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 11.968 bilion saham bernilai RM10.437 bilion, daripada 11.06 bilion saham bernilai RM9.08 bilion minggu lepas.
Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 8.456 bilion saham bernilai RM9.869 bilion, daripada 7.45 bilion unit bernilai RM8.5 bilion sebelumnya.
Di Pasaran ACE, jumlah dagangan lebih tinggi pada 2.273 bilion unit bernilai RM373.178 juta berbanding 2.16 bilion unit bernilai RM322.42 juta.
Waran susut kepada 1.198 bilion unit bernilai RM185.548 juta, daripada 1.43 bilion saham bernilai RM252.71 juta yang diniagakan minggu lepas. - Bernama
Bursa dijangka alami trend kukuh minggu depan
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini.
Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.





