“BETO? Pemain mana tu yeop? Pemain import ke?”

Itulah antara persoalan yang terpacul daripada penyokong bola sepak Perak apabila nama pemain muda ini mula disebut-sebut pada hari ini.

Namun, bagi sebahagian penyokong yang biasa menyaksikan saingan Piala Presiden pastinya sudah terbiasa menyaksikan aksi lincah pemain berkenaan hingga menyaksikan Perak muncul juara Piala Presiden 2014.

Malah, aksinya nyata memikat ketua jurulatih skuad Kejor Yeop Skor itu, Vjeran Simunic yang beranggapan pemain muda berkenaan begitu berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi.


Perjalanan masih jauh

Namun, bagi Beto atau nama sebenarnya, Ahmad Khairil Anuar Bin Ahmad Zamri, 19, perjalanannya masih jauh dan masih banyak yang perlu dipelajarinya dalam arena bola sepak.

“Saya mula main bola ni sejak sekolah rendah dan mula mewakili Perak ketika berusia sembilan tahun. Masa tu saya dah mula fokus untuk serius dalam bola sepak.

“Bagaimanapun saya berhenti sekejap bermain bola sepak mulai tingkatan satu hingga tingkatan dua atas sebab tertentu, tapi saya kembali aktif dengan bola sepak ketika di tingkatan tiga sehingga berjaya terpilih ke pasukan Harimau Muda C pada 2013.

“Tapi masa tu saya akan pastikan masa belajar, saya akan belajar betul-betul. Masa bermain, main betul-betul. Kawan-kawan sekeliling pun saling ingatkan antara satu sama lain, terutamanya bila ikut team travel, buku mesti bawa untuk study,” katanya kepada Ultras Sinar.


Ada kenangan manis

Menceritakan mengenai kenangan manisnya sepanjang penglibatannya dalam arena bola sepak  Beto berkata, dirinya tidak akan melupakan anugerah sebagai pemain terbaik final, pemain tengah terbaik dan pemain terbaik kejohanan sempena Kejohanan 100 Plus Super Cup di Bangi, tahun lalu.

Katanya, kejayaan berkenaan nyata sesuatu yang begitu manis baginya, apatah lagi dengan membantu Perak muncul juara Piala Presiden dan juara bola sepak Sukan Malaysia (Sukma) ke-17, Perlis Jun lalu.

“Itulah antara kenangan yang paling manis pernah saya kecapi. Terima kasih untuk semua terutamanya keluarga yang banyak memberi sokongan walau ke mana saya pergi.

“Walaupun keluarga saya tak tahu sangat pasal bola, tapi sokongan mereka kepada saya begitu kuat. Keseluruhannya, merekalah ‘semangat’ bagi saya,” katanya lagi.


Asal usul gelaran Beto

Sementara itu mengulas mengenai nama ‘Beto’ yang dimilikinya, anak muda ini berkata semuanya bermula ketika dia baru berpindah ke Tambun tidak lama dahulu.

Katanya lagi, ketika bermain bola di sebuah padang berhampiran, ramai yang tidak tahu namanya hingga mengakibatkan nama ‘Beto’ disebut untuk memanggilnya.

“Gelaran nama ‘Beto’ tu asalnya daripada nama bekas pemain kebangsaan Brazil, Roberto Carlos. Mula-mula pindah ke Tambun dulu, ramai tak tahu nama, jadi dibantainya panggil saya Roberto Carlos.

“Lama-lama gelaran tu diringkaskan, jadilah ‘Beto’ sahaja,” katanya lagi.


Profil

Nama : Ahmad Khairil Anuar Bin Ahmad Zamri (Beto)
Tarikh lahir : 8 Mac 1995
Asal : Teluk Intan
Sekolah : SM Anderson, Ipoh
Latar akademik : Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)
Status : Bujang
Bilangan adik-beradik : 4 orang
Hobi : Bermain futsal
Posisi : Tengah menyerang (attacking midfield)
Posisi lain : semua bahagian serangan
Sukan lain yang diceburi : sepak takraw
Pemain bola sepak yang diminati : Indra Putra Mahayuddin (Malaysia/Felda United), Arjen Robben (Belanda/Bayern Munich)
Kelab/pasukan bola sepak yang diminati : Chelsea
Makanan kegemaran : Tomyam
Minuman kegemaran : Milo
Jika saya bukan pemain bola sepak : Peniaga