BUTTERWORTH - Bank Persatuan merancang menawarkan skim Ar-Rahnu, sistem yang berbeza dengan sistem yang diperkenalkan oleh francais Ar-Rahnu, di tujuh cawangannya sehingga hujung tahun ini membabitkan peruntukkan RM30 juta.
   
Pengerusinya Datuk Yusra Sabar berkata skim itu merupakan produk baharu bank tersebut dan pengenalannya bertujuan mempelbagaikan produk pembiayaan sedia ada yang ditawarkan di kesemua 14 cawangan Bank Persatuan.
   
"Skim Ar-Rahnu yang ditawarkan oleh Bank Persatuan merupakan pinjaman tanpa faedah dan hanya mengenakan upah yang rendah bagi mereka yang kesempitan wang untuk mendapatkan tunai secara bersih dan dibenarkan oleh syarak," katanya.
   
Menurutnya pengenalan skim Ar-Rahnu di Bank Persatuan cawangan Butterworth merupakan projek perintis bank ini dalam usaha mempelbagaikan produk.
   
Skim yang menawarkan pinjaman secara kecil-kecilan ini juga bertujuan memberi kemudahan tunai segera kepada individu yang memerlukan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan kaunter Ar-Rahnu Bank Persatuan pertama di cawangan Butterworth di sini hari ini.
   
Yusra turut menyampaikan hadiah berupa telefon bimbit Samsung Galaxy S4 kepada lima pemenang cabutan bertuah sempena promosi pembiayaan perayaan yang berlangsung dari Julai hingga November 2013.
   
"Pada 2015, kita juga menyasarkan untuk membuka kaunter skim Ar-Rahnu di kesemua cawangan Bank Persatuan di seluruh negara.
   
Selain itu katanya pada Mac tahun ini Bank Persatuan akan membuka cawangannya yang ke-15 di Johor Bahru sebagai memenuhi keperluan semasa. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :