SYARIKAT pengeluar rempah ratus tempatan, Baba Product (M) Sdn Bhd (Baba's) akan memperkenal produk baru selain membuka lebih banyak cawangan sepanjang tahun ini untuk terus mengukuhkan perniagaannya.

Ketua Pengiklanan dan Promosi Baba’s, Claudian Navin Stanislaus berkata, Baba's melancarkan tiga produk baru secara berperingkat sejak empat bulan lalu dan dijadual melancarkan dua lagi produk dalam waktu terdekat.

Menurutnya, tiga produk baru iaitu serbuk rendang, sup dan kari ikan masin mendapat sambutan menggalakkan kerana ia dihasilkan berdasarkan keperluan pelanggan sendiri.

“Kami tidak terlampau fokus kepada pelancaran produk kerana apa yang penting adalah memastikan setiap produk Baba’s berkualiti dan menepati cita rasa masyarakat tempatan.  

“Prinsip Baba’s adalah kami hanya akan menghasilkan produk sekiranya ia mendapat permintaan daripada orang ramai,” katanya pada majlis penyampaian hadiah peraduan kreatif Baba’s di Petaling Jaya, semalam.

Peraduan itu merupakan penutup tirai kepada kempen Baba's cu-bits iaitu program masakan yang membolehkan penonton rancangan menonjolkan kreativiti masing-masing dengan menggunakan pek kosong Baba's bagi mencipta hasil kreatif.

Sehingga kini, syarikat itu telah menghasilkan 34 jenis produk rempat ratus yang dibahagikan kepada beberapa segmen perniagaan seperi rempah kari, rempah cili, rempah tulen, tepung dan tepung adunan.  

Apa yang menarik, syarikat itu merupakan pengeluar yang berjaya mencatatkan jualan tertinggi dalam kalangan pengeluar rempah ratus tempatan lain bagi setiap segmen perniagaannya.

Beliau berkata, syarikat itu kini sedang meninjau peluang untuk membuka lebih banyak cawangan jualan di Sabah dan Sarawak di samping negara jiran, Brunei.

“Setakat ini, kami sudah pun mempunyai satu cawangan di 13 negeri apabila baru sahaja membuka cawangan pertama di Kuching diikuti Kota Kinabalu pada Julai lalu,” katanya.

Sejak 18 tahun lalu, produk Baba’s turut menerokai pasaran luar negara seperti Australia, United Kingdom, Amerika Utara, Kanada, Jerman, Afrika Selatan dan Singapura.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :