PENSYARAH Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perak, Dr Azizul Azli Ahmad ini tidak menyangka bahawa bidang hartanah bakal menjadi satu pendapatan lumayan. Penglibatannya dalam bidang itu secara serius bermula empat tahun lalu apabila dia membaca buku pemberian isterinya.

Tertarik dengan isi kandungan buku popular tulisan Robert Kiyosaki, Poor Dad Rich Dad, dia mengambil masa seminggu untuk mendalami buku motivasi kewangan itu.

“Sebulan kemudian, saya memberanikan diri untuk memasuki lelongan awam bagi dua unit rumah lelong.

“Kesedaran yang hadir setelah membaca buku itu membuatkan saya tekad untuk melakukan pelaburan dalam bidang hartanah,” katanya.

Walaupun berjaya membeli seunit sahaja rumah yang dilelong, dia amat berpuas hati dengan kejayaan itu kerana dapat membeli rumah dengan harga lebih murah daripada harga pasaran.

Katanya, modal yang digunakan untuk membeli hartanah lelong bernilai RM15,000 itu setelah menerima wang Skim Pencen KWSP bernilai RM30,000 pada 2012.

“Mulanya saya tidak tahu ke mana arah tujuan wang itu bakal digunakan. Namun setelah mendapat inspirasi daripada buku motivasi, saya nekad melakukan sesuatu bagi jaminan untuk masa hadapan.

“Tidak selamanya kita akan memegang jawatan pensyarah dan selepas bersara, takkan menjual aiskrim dan bergantung kepada pencen sahaja.

“Pelbagai persoalan sebagai bekalan untuk masa hadapan bermain di fikiran, kemudian saya berpendapat pelaburan hartanah antara pelaburan selamat,” katanya.

Berbalik kepada pembelian rumah lelong tadi, Azizul Azli berkata, kepuasan dapat membeli rumah dengan harga rendah amat menggembirakannya.

Sekali lagi, dia memburu hartanah lelong untuk dijadikan pelaburan selepas mendapat nasihat daripada mentornya, Meor Zaidee Meor Ahmad Rasdi atau lebih dikenali Abang Ensem.

“Tidak hanya memburu rumah lelong, saya juga banyak melakukan tinjauan terhadap rumah terpakai.Sebenarnya ramai tidak tahu rumah jenis ini juga dijual dengan harga murah atau bawah harga pasaran,” katanya.

Kesemua rumah yang dibeli ketika itu diubah suai agar sesuai untuk dijadikan rumah sewa.

Akuinya, dia cukup bertuah kerana perjalanannya dalam bidang hartanah berjalan dengan lancar.

“Biarpun berhadapan dengan cabaran sepanjang tempoh itu, saya tidak pernah serik untuk membeli rumah lelong dan rumah terpakai.

“Malah saya juga mendapat petua penting daripada mentor bahawasanya ketika di dewan lelong, sebarang tawar menawar daripada sekeliling harus diabaikan kerana kita tidak mengetahui apa hajat mereka.

“Kadang-kadang mereka cuba mengganggu emosi kita dengan melakukan tawaran untuk tidak membeli rumah lelong,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • ANAK syarikat Petronas, Petronas LNG Ltd (PLL), mencatat kejayaan baharu apabila menandatangani perjanjian jual beli (SPA) dengan H-Energy Mideast DMCC (HEMD), kontrak pertama gas asli cecair (LNG) di negara Asia Selatan.
  • PINDAAN Akta Koperasi 1993 (Pindaan 2007)(502) akan dibentangkan pada sesi Dewan Rakyat, bulan depan.
  • SONY Corp (Sony) akan menjadi sebuah syarikat terbesar yang mengendalikan perkhidmatan pasaran pengangkutan dalam talian di Jepun.
  • SESEORANG peniaga atas talian akan mampu bertahan seterusnya berjaya berdepan cabaran persaingan dengan lambakan peniaga atas talian yang lain jika produk dipasarkan dan perkhidmatan ditawarkan berkualiti. 
  • LEMBAGA Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) hari ini memberi peringatan, tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana pihak yang menggunakan logo CIDB tanpa kebenaran untuk mempromosi produk dan perkhidmatan mereka.