ADABI Consumer Industries Sdn Bhd (Adabi) bakal melancarkan tiga produk baru bagi segmen rempah menjelang hujung tahun ini sekali gus melengkapkan 15 kesemuanya.

Pengarah Pemasarannya, Adrian Roslan berkata, sehingga kini, Adabi telah mengeluarkan lebih 55 produk melibatkan semua segmen.

Menurutnya, bagi mengukuhkan lagi jenama Adabi, syarikat berhasrat meneroka pasaran Timur Tengah menerusi segmen makanan dalam tin.

“Sehingga kini, produk Adabi berjaya tembusi pasaran Asia Tenggara seperti Indonesia, Thailand, Singapura dan Brunei dan menyumbang sebanyak 20 peratus kepada perolehan keseluruhan.

“Perolehan Kumpulan Adabi bagi 2011 mencatatkan sebanyak RM300 juta melibatkan bahagian pengeluaran dan pengedaran,” katanya selepas melancarkan program ‘Spice Routes Musim Kelima’ di Rawang.

Mengulas mengenai program tersebut, Andrian berkata, tayangan program ‘Spice Route’ itu turut menyumbang kepada peningkatan perolehan kumpulan sebanyak 20 peratus setiap tahun.

Katanya, Adabi memperuntukkan kira-kira RM2 juta bagi merealisasikan program tersebut sekali gus mengetengahkan produk makanan tin dengan tema ‘era baru masakan dalam tin di Malaysia’.

“Program berbentuk travelog ini berjaya memperkenalkan Adabi sebagai pengeluar produk berasakan rempah-ratus terbaik khususnya di Malaysia dan Asia amnya.

“Penjelajahan kali ini menyingkap kisah di sebalik laluan laut, merentas benua, menjelajahi Kepulauan Melayu dan Pulau Madagascar di Afrika,” katanya.

Adrian berkata, program yang dihoskan Chef Nizam Nor itu akan ditayangkan di TV3 bermula 5 Oktober hingga Disember dengan 13 episod setiap hari Jumaat jam 7.30 malam.