ADABI Adabi melazatkan. Adabi menyelerakan. Mengandungi pelbagai rempah. Melazatkan kari dan kuah.”

Demikian bait-bait lagu Adabi yang sering didengari dan ditonton ramai di kaca televisyen, yang terkenal dengan moto Sajian Istana di Zaman Silam.

Seakan tidak percaya, rupa-rupanya lagu dan iklan tersebut sudah 33 tahun usianya dan masih kekal digunakan sehingga hari ini.

Ia sebaya dengan usia Adabi Consumer Industries Sdn Berhad (ACISB), syarikat milik Bumiputera, yang ditubuhkan sejak 1984 lagi oleh Pengarah Urusannya, Datuk Syed Manshor Syed Mahmood.

Bermula dengan kurang daripada 30 kakitangan di sebuah kilang kecil di Batu Caves, Selangor, jenama Adabi kini semakin berkembang dengan mempunyai lebih 1,000 kakitangan operasi.

Presidennya, Adrian Roslan berkata, sehingga kini, ACISB mempunyai tujuh kilang yang mengeluarkan rangkaian produk kari, sup, tepung, perencah, sos, makanan dalam tin, snek dan makanan haiwan.

“Kami memiliki empat kilang di Rawang Integrated Industrial Park, iaitu kilang kari dan sup, perencah, tepung serta produk dalam tin. Di sekitar kawasan ini juga, kami mempunyai sebuah kilang memproses makanan haiwan untuk rangkaian jenama Powercat.

“Selain itu, Adabi mempunyai sebuah kilang di Alor Setar, Kedah memproses snek. Lokasinya agak jauh berbanding kilang kami yang lain memandangkan kami turut bekerjasama dengan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi),” katanya ketika ditemui Sinar Harian di pejabatnya di Rawang, Selangor, baru-baru ini.

Manakala, sebuah lagi kilang Adabi terletak di Jawa, Indonesia, berhampiran pantai, bagi memudahkan proses pembuatan sardin yang perlu ditinkan dalam tempoh 48 jam.

Sehingga kini, ACISB kini mempunyai 10 kategori produk, melibatkan lebih dari 80 jenis produk, yang merangkumi 206 unit menyimpan stok (SKU).

Produk ACISB merangkumi kari, sup, tepung, perencah, sos, makanan dalam tin, kategori serbuk perasa (seasoning category), makanan haiwan jenama PowerCat, snek berasaskan jagung menerusi jenama Flamitoz dan lain-lain.

Beberapa rangkaian produk Adabi turut menjadi pemimpin dalam pasaran, antaranya serbuk kunyit, perencah sup, sup bunjut, perencah nasi goreng, Asam Jawa Xtra, tepung cucur dan lain-lain lagi.

Cabaran kekalkan perniagaan

Bukan mudah untuk mengekalkan suatu jenama dalam pasaran bertahan lama, apatah lagi dengan cita rasa masyarakat yang sentiasa berubah-ubah.

Perkara itu turut diakui Adrian, namun beliau menganggap semua itu sebagai cabaran yang harus ditempuh dalam dunia perniagaan.

“Cabaran kami adalah untuk mengekalkan kepercayaan pengguna terhadap produk Adabi dan memastikan mereka sentiasa menggunakan produk kami.

“Ia bukan sekadar kita buat iklan menyatakan produk kita sedap semata-semata, tetapi kunci utamanya adalah produk itu sendiri memang kena betul-betul sedap,” katanya.

Dalam mengeluarkan sesuatu produk, Adrian berkata, Adabi sentiasa mencipta produk yang sesuai dengan cita rasa pengguna yang sentiasa berubah, bukannya sahaja mewujudkan produk dengan satu rasa sepanjang zaman.

“Kami mempunyai pasukan khas yang sentiasa mengkaji apa kehendak pengguna, kaji pasaran dan membuat pembangunan serta penyelidikan dari segi tingkah laku perubahan pengguna.

“Jika ada perubahan tingkah laku pengguna setiap tahun, kami akan mengambil kira perkara ini,” ujarnya.

Malah, katanya, Adabi juga sentiasa melakukan penambahbaikan serta pembangunan dan penyelidikan (R&D) terhadap produk sedia ada, supaya produk-produk dihasilkan disesuaikan dengan cita rasa semasa pengguna.

“Setiap bulan, kita akan uji produk, bukan sahaja yang dilakukan bahagian kawalan kualiti atau R&D sahaja, tetapi juga pihak pengurusan tertinggi turut melakukan perkara sama.

“Selain itu, kami juga akan turut merasai produk pesaing, supaya tidak rasa ‘syok’ sendiri dengan produk yang dihasilkan dari segi rasanya. Bila sudah tambah baik, kami akan maklumkan kepada pelanggan melalui pembungkusan, dengan meletakkan ‘formula baharu’,” katanya.

Terbaru, pada tahun ini, Adabi melakukan penambahbaikan terhadap produk perencah bihun Adabi dari segi warna dan rasa, sesuai dengan kehendak pengguna.

**Dapatkan akhbar Sinar Harian hari ini untuk berita lanjut