SILENT Mode Sdn Bhd memperkenalkan aplikasi Slurp iaitu memesan makanan menggunakan sistem terminal pusat jualan (Pos) berasaskan pengkomputeran awan.

Kini ia digunakan di lebih 100 restoran makanan dan minuman di Lembah Klang.

Pengasas bersama Slurp, Reza Razali berkata, kejayaan pelanggan ke-100 yang dicapai baru-baru ini menunjukkan komitmen syarikat untuk menyampaikan penyelesaian Pos bagi meningkatkan kecekapan kedai makanan dan minuman.

“Sejak pelancaran Slurp tahun lalu, kami terus menambah ciri-ciri baharu. Perisian kami juga mempunyai sistem cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang dicari di kalangan pengusaha restoran,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, penggunaan aplikasi Slurp di lebih 100 restoran sebahagian daripada usaha syarikat untuk memperkenalkan program ‘reseller’.

Tambahnya, ia sebagai sebahagian daripada pelan keseluruhan untuk terus berkembang di luar Lembah Klang ke bandar-bandar lain dalam Malaysia dan juga ke negara-negara lain di Asia Tenggara.

“Kami gembira dengan keseluruhan jawapan daripada cawangan restoran makanan dan minuman setakat ini.

"Kami cuba untuk mengenal pasti rakan kongsi yang berpotensi mengambil Slurp ke bandar-bandar seperti Pulau Pinang, Ipoh, Melaka, Johor Bahru dan Kuching,” katanya.

Katanya, Slurp menyediakan pelbagai insentif termasuk latihan percuma, bahan-bahan sokongan pemasaran percuma, dan, bantuan pemasaran untuk luar talian dan saluran dalam talian.

"Syarikat juga sedang meneroka peluang untuk membawa Slurp di luar negara. Sebab itu kami berminat untuk mencari ‘reseller’ untuk membantu kami berkembang ke pasaran baharu. Kami mahu lebih banyak pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam sektor makanan dan minuman,” katanya.

Menerusi Slurp iaitu sebuah sistem terminal pusat jualan (Pos) berasaskan pengkomputeran awan untuk perniagaan makanan dan minuman membolehkan pelanggan membuat pesanan menggunakan android, telefon pintar atau ipad.

“Kita lihat pemilik restoran menerima Pos adalah satu petanda yang baik. Kami optimistik tentang masa depan Pos awan.

“Slurp membantu pemilik restoran memudahkan pelayan mereka mengambil pesanan daripada pelanggan sekali gus meningkatkan kecekapan operasi,” katanya.

Slurp juga dapat memudahkan pengusaha restoran mendapatkan data prestasi jualan, melihat trend keluar masuk pelanggan dan jumlah pesanan yang diambil oleh setiap kakitangan.

Sejak mula diperkenalkan pada Jun 2014, Slurp boleh berbangga dengan kejayaan mengumpul banyak pemilik restoran menggunakan sistem tersebut. Antaranya ialah Restoran Boat Noodle dan Taiwan Recipe.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PLATFORM aplikasi dalam talian, imSold! yang membolehkan pengguna menjual dan membeli barangan, semakin berkembang sejak dilancarkan tahun lalu.
  • PERDANA Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak telah melancarkan satu aplikasi peranti pintar semalam.
  • BERIKUTAN tahap pengurusan kewangan yang rendah di kalangan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) khususnya Bumiputera, sebuah syarikat tempatan, Bina Pavo Data Intelligence Sdn Bhd tampil membangunkan satu aplikasi yang mudah digunakan dalam pengurusan kewangan seharian.
  • PERSATUAN Pengguna-Pengguna Standard Malaysia (Standards Users) percaya harga seunit boleh manfaatkan pengguna, selain bijak dalam berbelanja barangan keperluan harian dengan SmartShopper Malaysia.
  • RAMAI usahawan beranggapan memiliki aplikasi mudah alih sendiri adalah mahal sehingga menyebabkan ramai di antaranya tidak berani melaburkan sejumlah wang bagi tujuan berkenaan.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.