Guru KAFA mengaku tak bersalah hempas murid hingga patah kaki

Laporan Sinar Harian pada 15 Julai lalu mengenai penahanan reman seorang guru KAFA selama tiga hari bagi bantu siasatan kes menimpa seorang murid sehingga patah kaki.
Laporan Sinar Harian pada 15 Julai lalu mengenai penahanan reman seorang guru KAFA selama tiga hari bagi bantu siasatan kes menimpa seorang murid sehingga patah kaki.
A
A
A

MARANG - Seorang guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan menyebabkan kecederaan terhadap seorang murid lelaki sehingga patah kaki Julai lepas.

Ahmad Mursyidin Abdullah, 37, membuat pengakuan tersebut setelah pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda.

Guru itu didakwa sengaja menyebabkan cedera parah terhadap seorang murid lelaki berusia sembilan tahun, sehingga menyebabkan patah tulang di bahagian kaki kanan dengan cara mengangkat dan menghempas kanak-kanak itu di atas sebuah kerusi kayu.

Kejadian itu didakwa berlaku dalam kelas di sebuah sekolah rendah di daerah ini pada 4.15 petang, 6 Julai lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan denda.

Majistret menetapkan ikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin, manakala 17 Nov depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sepanjang prosiding berkenaan serta tidak boleh terbabit dengan jenayah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nik Rabiatul Adawiyah Nik Soupy, manakala tertuduh diwakili peguam Abdul Hayyi Salim.

Artikel Berkaitan:

Dalam kejadian Julai lepas, insiden itu disedari ibu mangsa berusia 36 tahun sewaktu mengambil kanak-kanak itu pulang dari kelas pada 5 petang.

Murid itu kemudiannya telah dibawa ke klinik berhampiran bagi pemeriksaan dan disahkan kaki kanan kanak-kanak terbabit telah patah dan laporan polis berhubung kejadian tersebut telah dibuat ibu bapa mangsa pada 8 Julai lalu. - Bernama