Caj air mentah: Kedah mahu bayaran bukan sumbangan

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah tetap mahu Pulau Pinang membayar caj air mentah dari kawasan Ulu Muda dan bukannya hanya diberikan sumbangan sahaja.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pihaknya telah meletakkan bayaran sebanyak 10 sen bagi satu meter padu, namun bersedia untuk berunding dengan Pulau Pinang.

"Kita hendak bayaran bukan sumbangan. Sumbangan ikut suka bayar berapa duit pun, empat kupang (40 sen), lima kupang (50 sen), kita letakkan satu meter padu 10 sen, kemudian boleh dirundinglah harga itu.

"Sumbangan ini jika hendak bagi tidak mengapa, tidak mahu bagi pun tidak mengapa tetapi kami mahu bayaran," katanya pada sidang media di Seri Mentaloon hari ini.

Muhammad Sanusi berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man melalui laman sebuah portal pada 15 Disember lalu menggalakkan Pulau Pinang memberi sumbangan kewangan atas 'pengorbanan' Kedah untuk tidak meneroka kawasan tadahan air di Ulu Muda.

ARTIKEL BERKAITAN: PBAPP perjelas sebab Kedah tidak boleh tuntut caj air RM50 juta

Menurutnya, komitmen Menteri Besar Kedah yang tidak meneroka Ulu Muda yang merupakan kawasan tadahan air penting buat Kedah dan Pulau Pinang.

Muhammad Sanusi berkata, beliau menganggap kesediaan negeri itu untuk berunding merupakan satu kenyataan yang positif.

Artikel Berkaitan:

"Mereka memberi maklum balas melalui kenyataan akhbar sahaja, mereka sedia berunding dan kita anggap kenyataan itu kenyataan yang positif memulakan proses rundingan itu.

"Rundingan awal akan dimulai di peringkat pegawai-pegawai dulu khususnya melalui Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK).

Katanya, kerajaan Pulau Pinang sebelum ini telah mengenakan caj air mentah kepada Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) sebanyak 6 sen caj air bagi setiap satu meter padu.

"Jadi dialah (Pulau Pinang) patut bayar, rundingan boleh minta kurang. kalau PBAPP hendak bayar pun saya terima, tidak kisah siapa bayar," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Kedah menuntut PBAPP menjelaskan bayaran sumber air mentah sebanyak RM50 juta setahun, sebelum mencampuri urusan berkaitan sumber air di negeri berkenaan.

Tuntutan oleh Muhammad Sanusi yang menegaskan sudah banyak kali surat untuk meminta bayaran berkenaan dihantar kepada PBAPP sejak 2010, namun tiada sebarang jawapan mahupun bayaran dilakukan.

ARTIKEL BERKAITAN: Caj air: Kerajaan Persekutuan disaran jadi fasilitator rundingan

PBAPP sila bayar RM50 juta setahun sebelum komen: MB Kedah