Caj air: Kerajaan Persekutuan disaran jadi fasilitator rundingan

Nurul Amin (tengah) bersama Mohd Fadzil (kiri) dan Mohd Saffuan (kanan) ketika ditemui pada sidang akhbar di Restoran Ikan Bakar Anjung Kuala, Kuala Kedah hari ini.
Nurul Amin (tengah) bersama Mohd Fadzil (kiri) dan Mohd Saffuan (kanan) ketika ditemui pada sidang akhbar di Restoran Ikan Bakar Anjung Kuala, Kuala Kedah hari ini.
A
A
A

KUALA KEDAH - Kerajaan Persekutuan diharapkan menjadi fasilitator untuk menjayakan rundingan tuntutan caj bekalan air RM50 juta setahun antara Kedah dan Pulau Pinang.

Ketua Pemuda Pas Kedah, Nurul Amin Hamid berkata, Pemuda Pas Kedah bersama Pemuda UMNO Kedah dan Armada Bersatu Kedah sebulat suara menyokong penuh tuntutan caj bekalan air RM50 juta setahun Kedah terhadap Pulau Pinang.

Nurul Amin berkata, Pulau Pinang melalui Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) sebenarnya telah mengekstrak ataupun menggunakan 80 peratus sumber air bersamaan sebanyak 1,100 juta liter padu (mld) bekalan air sehari dari Sungai Muda.

"Disebabkan itu, tuntutan yang dibuat atas penggunaan sumber bekalan air yang sebanyak 1,100 mld digunakan sehari oleh Pulau Pinang dari Sungai Muda yang bersumberkan air yang mengalir daripada kawasan tadahan Hutan Ulu Muda dirasakan munasabah.

"Pada masa sama, Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) mengenakan caj kepada Syarikat Air Darul Aman (SADA) bagi setiap meter padu yang diekstrak kira-kira hanya 800 mld bagi tujuan membekalkan bekalan air terawat kepada seluruh rakyat Kedah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Pemuda Pas, Pemuda UMNO dan Armada Bersatu di Restoran Ikan Bakar Anjung Kuala di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pemuda UMNO Kedah, Mohd Fadzil Zolkipli dan Ketua Armada Kedah, Mohd Saffuan Sabari.

ARTIKEL BERKAITAN: PBAPP perjelas sebab Kedah tidak boleh tuntut caj air RM50 juta

Mengulas lanjut, Nurul Amin berkata, tuntutan itu dirasakan munasabah kerana ia amat diperlukan untuk Kedah dalam melaksana program pengekalan dan kelestarian kawasan tersebut bagi menjamin bekalan air yang mencukupi kepada 4.06 juta rakyat Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pihaknya tertanya-tanya sama ada wajar kah Kedah perlu korbankan tanah hutan yang luas dan menanggung kos penyelenggaraan sumber dan aliran air sedangkan Pulau Pinang pula menikmati faedah serta keuntungan secara percuma.

"Jadi adalah adil jika pihak PBAPP turut membayar sebagaimana SADA membuat pembayarannya untuk sumber air terbabit.

"Justeru apa yang diharapkan agar PBAPP dan Pulau Pinang dapat mempertimbangkan untuk membuat bayaran sewajarnya kepada Kedah melalui LSANK," katanya.

Dalam perkembangan sama, Nurul Amin berkata, perjanjian bekalan air antara Kedah dan Pulau Pinang yang dimeterai pada 1985 juga perlu disemak semula susulan tuntutan caj bekalan air RM50 juta setahun negeri Jelapang Padi itu.

Katanya, semakan semula harus dilaksanakan ekoran perjanjian berusia 35 tahun lalu itu mungkin berbeza jika dibandingkan dengan keperluan masa kini.