Penambakan dihenti, nelayan Sungai Simpang Kiri tarik nafas lega

PONTIAN - Penutupan serta-merta kawasan berhampiran Sungai Simpang Kiri yang dikaitkan dengan penambakan sisa bahan binaan dari Singapura memberi harapan baharu kepada nelayan untuk melihat hasil tangkapan kembali pulih.
Pengerusi Pakatan Nelayan Simpang Kiri, Shahrizal Sirang berkata, keputusan analisis sampel yang mendapati tiada pencemaran akhirnya diterima selepas penantian panjang, namun nelayan masih berharap keadaan sungai kembali seperti dahulu.
Jelasnya, sudah dua kali nelayan membuat laporan polis dalam tempoh berkenaan bagi meminta siasatan dilakukan oleh pihak berkuasa.
Shahrizal memberitahu, terdapat kira-kira 50 nelayan di kawasan berkenaan yang bergantung kepada hasil sungai sebagai sumber pendapatan.
Dakwanya, aktiviti penambakan berhampiran sungai menjadi antara punca keadaan berkenaan berlaku apabila air sungai didakwa menjadi keruh.
“Sekarang hendak dapat satu hingga dua kilogram ikan dan udang dalam sehari pun susah. Dulu, lima hingga enam kilogram boleh dapat RM200 hingga RM300 sehari, tetapi sekarang RM50 pun susah.
“Keadaan ini menyebabkan pendapatan kami terjejas kerana hasil tangkapan semakin berkurangan,” katanya ketika ditemui di Jeti Sungai Simpang Kiri di sini pada Khamis.
Beliau menjangkakan kualiti air di Sungai Simpang Kiri mengambil masa antara tujuh bulan hingga lebih setahun untuk kembali pulih seperti sediakala selepas kerja penambakan dihentikan.
Sementara itu, nelayan, Abdul Jalil Abdul Manap, 59, yang sudah 30 tahun mencari rezeki di kawasan itu berkata, hasil tangkapan kini semakin berkurangan terutama ketika aktiviti penambakan dijalankan di kawasan berhampiran.
“Sampel sudah diambil dan sudah ada keputusan. Perkara ini pun berlaku lebih setahun.
“Nelayan menyambut baik tindakan menghentikan aktiviti penambakan berkenaan serta-merta demi kepentingan masyarakat setempat,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

