X

Kindly register in order to view this article
!

Parti komponen BN tiada hak campuri urusan agama Islam

A
A

SHAH ALAM - Parti Komponen BN iaitu dari MCA, Gerakan dan MIC dianggap tiada hak untuk mencampuri urusan berkaitan dengan agama Islam.

Ketua Wira Perkasa Malaysia, Irwan fahmi Ideris berkata, ini kerana tindakan yang dibuat presiden parti-parti berkenaan dianggap mencampuri urusan agama Islam berhubung kenyataan mereka yang ingin meletakkan jawatan sekiranya Rang Undang-undang (RUU) Persendirian , Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 diluluskan.

"Saya ingin mengimbas semula kenyataan yang saya keluarkan sebelum ini iaitu pada Disember 2011, dimana saya telah memberi peringatan pertama kepada Presiden MCA ketika itu iaitu Datuk Seri Dr Chua Soi Lek supaya berhenti menghina Islam dan hukuman hudud.

"Dan pada kali kedua saya memberi peringatan kepada Pengerusi Biro Keharmonian Agama MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker agar tidak mencampuri urusan yang berkaitan dengan agama Islam. Ketika itu ia melibatkan menaik taraf kedudukan mahkamah syariah agar setaraf dengan mahkamah tinggi.

"Namun kali ini mereka datang dengan rakan-rakan parti lain bagi mencampuri urusan berkaitan agama Islam. Persoalannya siapakah mereka ini? Mereka hanya pemimpin dikalangan parti komponen BN. Mereka tidak ada hak untuk mencampuri hal berkaitan Islam," katanya dalam satu kenyataan medianya hari ini.

Sebelum ini, Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai; Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong dan Presiden MIC, Datuk S Subramaniam menyatakan mereka akan meletakkan jawatan daripada kabinet jika RUU Persendirian tersebut dilaksanakan.

Irwan Fahmi berkata dalam hal ini, umat Islam tidak pernah mencampuri urusan agama lain.

"Kita sudah menyambut kemerdekaan selama 58 tahun. Banyak perkara yang kita bertolak ansur. Jadi mengapa perlu mereka mencampuri urusan agama Islam? Kita tidak pernah mencampuri urusan agama mereka pun. Bahkan kita amat menghormati agama lain-lain.

"Isu agama merupakan isu yang sangat sensitif. Jangan cuba mengambil kesempatan dengan mempolitikkan perkara ini. Mereka seharusnya berbincang dengan pucuk pimpinan mereka jika ada perkara yang mereka tidak berpuas hati, tetapi mereka terus membuat kenyataan sedemikian seolah-olah ingin mengelirukan dan memberi ancaman kepada rakyat," katanya.

Oleh itu, Irwan Fahmi  mendesak mereka supaya meletakkan jawatan mereka kerana mereka kini tidak layak untuk berada ditempat mereka sekarang.

"Mereka juga dilihat sengaja menimbulkan kekeliruan dan mencetuskan kemarahan rakyat," katanya.

Usul RUU itu dibawa oleh Presiden Pas yang juga Ahli Parlimen Marang Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Parlimen baru-baru ini.

Usul berkenaan bertujuan meminda Seksyen 2 bagi menggantikan peruntukan dalam undang-undang sedia ada iaitu mahkamah syariah akan mempunyai kuasa ke atas penganut agama Islam dan dalam hal-hal kesalahan di bawah perkara yang disenaraikan dalam butiran 1 Senarai Negeri, di bawah jadual kesembilan Undang-undang Persekutuan.

Ia juga bagi memasukkan seksyen 2A iaitu dalam menjalankan undang-undang jenayah di bawah seksyen 2, mahkamah syariah berhak menjatuhkan hukuman yang dibenarkan oleh undang-undang syariah berkaitan hal-hal kesalahan yang disenaraikan di bawah seksyen yang disebutkan, selain hukuman mati.


×

Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus