'Sudah tiba masa politik tidak lagi dimonopoli orang sama'

Parti orang muda yang baharu ini dapat menawarkan idea segar ke arah kemajuan negara.
Parti orang muda yang baharu ini dapat menawarkan idea segar ke arah kemajuan negara.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketika topik mengenai pemimpin politik muda dibincangkan, Sanna Marin, yang menjadi perdana menteri termuda di dunia setelah menerajui kerajaan baharu Finland pada Disember tahun lepas, pasti terlintas di fikiran.

Beliau baru berumur 34 tahun apabila menjadi perdana menteri, usia yang sangat muda iaitu bawah 40 tahun bagi seorang pemimpin sama seperti Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern, 39, Oleksiy Honcharuk, 36, (Ukraine) dan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un, 35.

Di Malaysia, Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Rahman, 27, dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan pada 2018, sekali gus menjadikan beliau sebagai menteri Kabinet termuda di Asia pada masa itu.

Kini, bekas menteri itu menarik perhatian banyak pihak selepas mengumumkan hasratnya untuk menubuhkan satu parti yang digerakkan oleh orang muda untuk memfokuskan kepada agenda belia.

Bagaimanapun, banyak persoalan dibangkitkan oleh pemerhati dan penganalisis politik mengenai objektif sebenar parti itu dan kemampuannya untuk menarik pengundi muda kerana ini akan menjadi parti berasaskan golongan muda yang pertama ditubuhkan sejak Malaysia merdeka 63 tahun lepas.

Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa, Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod berkata, mana-mana individu atau kumpulan yang merancang untuk menubuhkan parti berasaskan belia, perlu menjadikan misi mereka jelas agar dapat bertahan dalam landskap politik masa kini.

Beliau berpendapat, pendatang baharu dalam politik ini perlu bersedia berhadapan dengan kritikan, penolakan dan pelbagai reaksi daripada akar umbi termasuk persepsi bahawa parti ini akan memburukkan lagi keadaan dari segi pergolakan politik di negara ini.

“Ini adalah negara demokratik. Sesiapa sahaja boleh menubuhkan parti baharu. Tetapi masa yang akan menentukan nasib parti ini. Mereka perlu bersikap relevan dan peka terhadap isu tempatan. Pendirian mereka harus jelas. Perkara ini yang akan menentukan kelangsungan hidup parti ini,” katanya kepada Bernama.

Artikel Berkaitan:

Nik Ahmad Kamal berkata demikian bagi mengulas mengenai idea Syed Saddiq bahawa penubuhan parti politik orang muda itu “sudah tiba masanya supaya politik tidak lagi dikawal dan dimonopoli oleh orang yang sama”.

Sementara itu, pakar geostrategi Azmi Hassan meramalkan bahawa Syed Saddiq amat memerlukan ahli yang berwibawa untuk memimpin batalion baharunya dalam pencarian idea untuk menarik pengundi muda agar kehadiran mereka dalam arena politik dirasai.

“Beliau perlu merekrut pemimpin muda generasi baharu, dengan idea bernas dan perancangan strategik, parti itu akan mendapat perhatian,” katanya.

Timbalan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Syed Mohsen Alkaff pula mempersoalkan masa hadapan parti berasaskan orang muda ini apabila pemimpin mereka melepasi ‘peringkat usia belia’ tertentu.

“Apa akan jadi kepada Syed Saddiq atau ahli lain apabila mereka berumur 30 atau 40 tahun? Adakah mereka akan meninggalkan parti dan membentuk parti baharu lagi? Saya percaya matlamat parti akan menentukan masa depannya,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, penyelesaian lebih baik diperlukan dalam parti sedia ada untuk memberi orang muda peluang kerana ruang sentiasa ada untuk penambahbaikan.

Menteri Alam Sekitar dan Air itu berkata Pas dan UMNO telah memberi peluang kepada generasi muda untuk bergaul dengan ahli politik lebih berpengalaman dan membentuk gabungan kepimpinan yang lebih kuat.

Setiausaha Pemuda Barisan Nasional Md Fadzmel Md Fadzil berkata, ahli politik muda perlu bersatu dengan mentor mereka apabila mendekati rakyat daripada semua latar belakang dan peringkat.

Beliau berkata pakatan itu menyedari perlunya meningkatkan hubungan ini bagi memastikan mereka boleh mendapat sokongan dan kepercayaan daripada orang muda di negara ini.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman, 30, berkata, terdapat permintaan untuk membentuk parti berasaskan orang muda yang berpunca daripada ketidakpuasan hati dan kekecewaan beberapa pihak terhadap parti sedia ada.

“Mungkin parti orang muda yang baharu ini dapat menawarkan idea segar ke arah kemajuan negara. Atau mungkin mereka boleh menyalurkan idea kepada parti sedia ada dengan menyertai mereka terlebih dahulu.

“Daripada situ, mereka boleh membuat perubahan dan mewujudkan gelombang untuk generasi muda politik. Ini akan mengambil masa tetapi siapa tahu ia mungkin boleh mengubah dinamik dan landskap politik kita,” kata Penolong Setiausaha Wanita DAP Kebangsaan itu. - Bernama