Konflik Nagorno-Karabagh

No Image Caption
A
A
A

KEJATUHAN Kesatuan Soviet (USSR) pada tahun 1991 menyaksikan Armenia dan Azerbaijan telah berperang untuk menguasai Nagorno-Karabakh, sebuah wilayah Azerbaijan.

Sejak dahulu lagi Nagorno-Karabakh telah diperintah dan ditadbir oleh kerajaan Azerbaijan. Namun, pada awal abad ke-19 Empayar Rusia telah memperluaskan kuasanya ke rantau Kaukasus dan kerajaan Azerbaijan termasuk Nagorno-Karabakh telah jatuh ke tangan pihak Empayar Rusia.

Pada 14 Mei 1805, Perjanjian Kurakchay ditandatangani antara Ibrahim Khan, pemerintah Karabakh, dengan Jeneral Pavel Tsitsianov, wakil Czar Rusia. Berdasarkan perjanjian itu, Khanate Karabakh diletakkan di bawah pemerintahan Rusia. Empayar Rusia terus memperluaskan tanah jajahannya sehingga utara Parsi atau Iran di mana seluruh Azerbaijan telah dikuasai Empayar Rusia.

Pada 28 Mei 1918, apabila Empayar Rusia runtuh, Azerbaijan telah berjaya mendirikan Republik Demokratik Azerbaijan yang berdaulat. Ia merupakan republik demokratik yang pertama dalam dunia Islam. Berdasarkan perlembagaannya, wilayah Azerbaijan terdiri daripada Timur dan Selatan Transcaucasia ini termasuk Nagorno-Karabakh.

Bagaimanapun, kemerdekaan Azerbaijan pada awal abad ke-20 hanya seketika kerana menjelang 1920 Azerbaijan jatuh semula di bawah kekuasaan Rusia tetapi kali ini di bawah pemerintahan Kesatuan Soviet.

Pada tahun 1988 ketika penghujung pemerintahan USSR, para nasionalis Armenia sekali lagi cuba untuk mengeluarkan Nagorno-Karabakh dari Azerbaijan. Perubahan tersebut telah menimbulkan konflik etnik antara etnik Armenia dengan Azerbaijan. Akan tetapi usaha tersebut telah ditentang oleh USSR dan Moscow telah menghantar tentera untuk meredakan konflik. Setelah Kesatuan Soviet runtuh pada 1991, nasionalis Armenia yang menetap di Nagorno-Karabakh telah mengambil kesempatan untuk mengisytiharkan kemerdekaan mereka daripada pemerintahan Azerbaijan.

Usaha menguasai Nagorno-Karabakh telah menyebabkan perang meletus antara Armenia dan Azerbaijan sehingga menyebabkan kira-kira 30,000 terkorban dan ratusan ribu orang menjadi pelarian.

Usaha

Artikel Berkaitan:

Kumpulan Minsk dibentuk pada 1994 untuk mencari perdamaian dan menyelesaikan konflik Azerbaijan-Armenia berhubung pertikaian Nagorno-Karabakh. Kumpulan Minsk dipengerusikan bersama oleh Amerika Syarikat, Rusia dan Perancis. Pelbagai usaha telah dianjurkan, misalnya pertemuan antara pemimpin kedua-dua negara dan mengadakan perjumpaan secara individu. Kumpulan itu telah berjaya merundingkan gencatan senjata, tetapi masalah pertikaian wilayah tetap tidak dapat diselesaikan.

Konflik Nagorno-Karabakh bukan lagi suatu masalah rantau Kaukasus tetapi mendapat perhatian seluruh masyarakat antarabangsa. Pada 30 April, 29 Julai, 14 Oktober dan 12 November 1993, Majlis Keselamatan PBB telah menerima Resolusi 822, 853, 874 dan 884. Resolusi-resolusi PBB itu menegaskan kedaulatan dan integriti sempadan antarabangsa Republik Azerbaijan harus dihormati.

Pada masa sama, Resolusi PBB juga menuntut semua tindakan kekerasan dihentikan segera dan pengunduran pasukan tentera Aremenia dari wilayah Republik Azerbaijan yang diduduki. Selain itu Resolusi PBB turut meminta untuk memastikan kepulangan mangsa pelarian supaya mereka boleh pulang ke kediaman mereka.

Di samping PBB, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) juga telah menunjukkan solidariti kepada Azerbaijan dan mengutuk tindakan Armenia menceroboh Nagorno-Karabakh. Ketika Persidangan OIC di Dakar, Senegal pada 2008, OIC mengeluarkan Resolusi 10/11 ‘Pencerobohan Republik Armenia terhadap Republik Azerbaijan’.

Malah ketika Persidangan OIC di Putrajaya, Malaysia pada 2003, OIC telah mengeluarkan Resolusi 21/10-P memberi sokongan penuh kepada kerajaan Azerbaijan. Malaysia sebagai ahli PBB dan OIC menyokong usaha damai di Nagorno-Karabakh dan keadilan bagi penduduk Azerbaijan.

* Dr Roy Anthony Rogers ialah Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya