Ada baik buruk kejatuhan nilai ringgit

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KEJATUHAN nilai Ringgit Malaysia (RM) hangat diperkatakan di media sosial, rata-rata orang ramai menzahirkan rasa bimbang kerana kebanyakan mata wang negara serantau menunjukkan pengukuhan tetapi tidak bagi RM.

Kemerosotan tersebut sememangnya wajar untuk dibimbangi oleh kerajaan tetapi ada perkara jauh lebih menakutkan apabila ada pihak cuba menuding jari kepada kerajaan kerana kejatuhan berkenaan.

Permasalahan itu bukanlah satu perkara baharu bahkan sebelum ini juga RM sering mengalami kejatuhan dan ia turut dilaporkan dalam akhbar.

Sebagai contoh pada 17 April tahun lalu, nilai dolar Amerika Syarikat (AS$1) bersamaan RM4.24, namun dalam tempoh sebulan iaitu pada 17 Mei, nilai ringgit merosot kepada RM4.39 berbanding AS$1.

Bukan itu sahaja, pada 22 September tahun lalu juga, Sinar Harian melaporkan ringgit merosot dengan nilai tukaran semasa RM4.50 bagi AS$1 tetapi nilai mata wang negara pada ketika itu masih kukuh.

Bagaimanapun, baru-baru ini kejatuhan nilai RM yang mencatatkan paras terendah dalam sejarah berbanding Dolar Singapura (SGD) apabila mencecah sekitar RM3.4047.

Untuk pengetahuan umum, paras terendah pernah dicatatkan pada 10 November tahun lalu iaitu 3.4019.

Kejatuhan berkenaan membawa kepada laporan muka hadapan Sinar Harian pada 28 Mei.

Jika dilihat, kemerosotan RM mampu memberi impak negatif kepada negara tetapi sebaliknya berlaku, yang mana limpahan ekonomi negara terutamanya bagi negeri Johor dalam sektor peruncitan, perhotelan, makanan dan minuman.

Tidak dinafikan bahawa penyusutan nilai ringgit memberi kesan baik kepada sektor pelancongan kerana ia mampu untuk merancakkan industri berkenaan jika diurus dengan betul.

Bagaimanapun perlu diingatkan bahawa kemerosotan ini perlu ditangani segera sebagaimana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sebelum ini pernah bersuara sewaktu menjadi Ahli Parlimen Port Dickson.

Menurut beliau pada ketika itu, kerajaan perlu sanggup mengambil langkah tegas dan membuat perubahan dasar untuk menjamin agar harga makanan dapat dikawal kerana kejatuhan RM terkait dengan harga makanan.

Jadi, tanganilah segera agar tidak timbul masalah lain seperti pelabur asing bimbang akan pendapatan yang bakal diterima hilang dari segi nilai.