Empat beradik cemar Sungai Gong direman

Empat suspek cemar Sungai Gong direman enam hari bermula hari ini. (Gambar hiasan 123RF)
Empat suspek cemar Sungai Gong direman enam hari bermula hari ini. (Gambar hiasan 123RF)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Empat lelaki yang disyaki terbabit dalam kejadian pencemaran bau di kawasan perindustrian Sungai Gong, Rawang direman selama enam hari bermula hari ini.

Perintah reman dikeluarkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen, Nurul Mardhiah Mohamed Redza ke atas semua suspek berusia 50 hingga 60 tahun.

Kesemua suspek dibawa ke Kompleks Mahkamah Selayang pada jam 9.45 pagi tadi selepas ditahan sekitar jam 11 malam hingga 12.30 tengah malam tadi.

Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan dan kesemua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak untuk siasatan selanjutnya.

Dalam kenyataan Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin sebelum ini memaklumkan siasatan awal mendapati kilang menyelenggara mesin dan jentera itu diusahakan oleh empat suspek yang juga adik-beradik selepas bapa mereka meninggal dunia.

Semalam, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dilaporkan berkata, sebuah kilang yang disyaki menjadi punca pencemaran bau sehingga menyebabkan empat Loji Rawatan Air (LRA) di Sungai Selangor dihenti tugas sejak Khamis lepas, telah disita dan dikompaun serta-merta selain akan dikenakan tindakan lebih tegas.

Jelasnya, kilang berkenaan disyaki melepaskan bahan pelarut ke dalam Sungai Gong yang mengalir ke Sungai Sembah iaitu antara sungai utama bagi Sungai Selangor.

Sebanyak 1,292 kawasan di tujuh wilayah di sekitar Lembah Klang membabitkan hampir 1.2 juta akaun pengguna mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual bermula Khamis selepas empat LRA dihenti tugas ekoran insiden pencemaran bau berkenaan.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Pencemaran Sungai Gong: Empat beradik pemilik kilang ditahan

Kilang punca pencemaran Sungai Gong sudah disita

Kilang jentera berat disyaki punca pencemaran Sungai Gong