Suka bermain, tapi mampu hafaz 37 surah

Seorang kanak-kanak berusia lima tahun dari Labuan mencuri perhatian apabila berjaya menghafaz keseluruhan Juz Amma atau juzuk ke-30 al-Quran dalam tempoh kira-kira dua bulan setengah.
Seorang kanak-kanak berusia lima tahun dari Labuan mencuri perhatian apabila berjaya menghafaz keseluruhan Juz Amma atau juzuk ke-30 al-Quran dalam tempoh kira-kira dua bulan setengah.
A
A
A

SHAH ALAM - Ke mana-mana sahaja dia pergi, pasti ada mainan yang dibawa bersama. Ketika belajar pula, dia hanya mampu memberikan tumpuan selama lima hingga 10 minit sebelum kembali bermain.

Ketika berusia empat tahun, dia pernah dihantar ke sebuah tahfiz, namun selepas dua bulan dia tidak mahu lagi belajar di situ.

Siapa sangka, pada usia lima tahun, Muhammad In’mul Hasan Muhammad Nurhanafi dari Labuan berjaya menghafaz kesemua 37 surah dalam Juz Amma atau juzuk ke-30 al-Quran dalam tempoh kira-kira dua bulan setengah.

“Saya sendiri tidak menjangkakan dia boleh menghafaz dengan baik kerana dia memang suka bermain dan ke mana-mana pun selalunya membawa mainan,” kata ibunya, Nur Arfah Samsudin, 29, kepada Sinar Ahad.

Menurut Nur Arfah, berbanding adik-beradiknya, Hasan merupakan anak yang paling lambat menunjukkan minat membaca al-Quran.

Dia juga seorang kanak-kanak yang aktif, banyak bercakap, gemar bertanya soalan dan mudah hilang tumpuan ketika belajar.

“Apabila dia tidak mahu lagi belajar di tahfiz, kami tidak mahu memaksanya kerana mungkin dia belum bersedia.

“Bagaimanapun, kami menetapkan syarat bahawa jika dia mahu duduk di rumah, dia perlu belajar di rumah,” katanya.

Sejak itu, Nur Arfah dan suaminya mengambil pendekatan membimbing Hasan sendiri tanpa menetapkan jadual pembelajaran khusus kerana anaknya sukar mengikuti rutin yang terlalu teratur.

Artikel Berkaitan:

Sebaliknya, mereka menyesuaikan kaedah pembelajaran mengikut keupayaan Hasan memberikan tumpuan.

“Selepas Hasan khatam al-Quran pada September lalu, barulah saya mula menyusun pembelajaran untuk hafazan.

“Surah an-Naba’ merupakan surah pertama yang dihafaznya. Dalam tempoh kira-kira dua bulan setengah, dia berjaya menghafaz keseluruhan Juz Amma,” katanya.

Ikut bacaan kakak

Nur Arfah yang merupakan suri rumah berkata, antara kaedah digunakan untuk membantu Hasan menghafaz adalah dengan membiarkannya mengikuti bacaan dua kakaknya yang berusia tujuh dan sembilan tahun ketika mereka mengulang hafazan pada waktu malam.

Dia turut menetapkan sasaran hafazan secara berperingkat iaitu satu muka surat sehari sebelum Hasan meneruskan hafazan muka surat berikutnya.

Meskipun mengakui dirinya seorang ibu yang tegas ketika mengajar, Nur Arfah menyedari pendekatan itu perlu disesuaikan dengan keperibadian setiap anak supaya pembelajaran tidak menjadi beban.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!