Tapak binaan, jana kuasa elektrik punca pencemaran bau

Anggota LUAS memeriksa kandungan air di Sungai Batu.
Anggota LUAS memeriksa kandungan air di Sungai Batu.
A
A
A

SHAH ALAM - Tapak binaan dan sebuah penjana kuasa elektrik dikenal pasti menjadi punca pencemaran bau dan minyak diesel di Sungai Batu berdekatan inap desa di Jalan Ulu Yam Baru Hutan Lipur Sungai Tua pada Sabtu.

Perkara itu dikesan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) yang menerima maklumat daripada orang awam dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian berkata, pencemaran itu dikhuatiri memasuki Empangan Batu dan berpotensi menjejaskan operasi Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Batu.

"Insiden itu dipercayai berlaku kira-kira jam 10 pagi hingga 12 tengah hari kelmarin dan kesan minyak berkenaan hilang berikutan hujan lebat," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Loy Sian memberitahu, pemeriksaan awal LUAS mendapati tiada kesan bau atau minyak dan operasi LRA berjalan seperti biasa.

Bagaimanapun, katanya, siasatan lanjut mendapati pencemaran berpunca tapak pembinaan yang beroperasi berdekatan inap desa itu dan sebuah penjana kuasa ditemui dengan kesan tumpahan minyak.

Ujar beliau, pemilik tapak binaan itu diarah supaya segera melaksanakan tindakan mitigasi dan kawalan serta meletakkan dulang takungan di bawah penjana kuasa itu dan mengalihkannya dari kawasan sungai berdekatan.

"LUAS mengeluarkan Arahan Perintah Perlindungan Air mengikut Seksyen 122 Enakmen LUAS 1999 kepada pemilik tapak menjalankan kerja pemulihan berdasarkan penilaian risiko dan ancaman kepada sumber air.

"Tiada gangguan kepada operasi LRA dilaporkan setakat ini," tambahnya.