Tunku Azizah tukar tiara dengan topi konvokesyen

Disampaikan dengan penuh kemesraan, disulami jenaka bersahaja serta keyakinan ilmiah yang mendalam, ucapan wakil graduan oleh Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, bukan sekadar meraikan pencapaian peribadi baginda, malah membawa mesej yang lebih bermakna.
Disampaikan dengan penuh kemesraan, disulami jenaka bersahaja serta keyakinan ilmiah yang mendalam, ucapan wakil graduan oleh Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, bukan sekadar meraikan pencapaian peribadi baginda, malah membawa mesej yang lebih bermakna.
A
A
A

KUALA LUMPUR — Dalam satu tindakan luar biasa dan berbeza daripada kebiasaan protokol diraja, Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah melangkah keluar daripada barisan pengiring diraja ketika menghadiri Istiadat Konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) hari ini.

Baginda kemudian menyertai barisan para graduan dan menunggu giliran untuk menerima skrol yang diusahakan selama dua tahun.

Kembali menyambung pengajian pada usia 64 tahun selepas berehat selama 45 tahun daripada dunia pendidikan formal, Ketua Perlembagaan UIAM itu mengetepikan segala keistimewaan istana demi menghadapi cabaran sebagai seorang pelajar termasuk menyemak semula tesis hingga lewat malam, membuat semakan turnitin, malah melunaskan bil tertunggak sebanyak RM2,450 bagi yuran penilaian dan pengijazahan sebelum memperoleh transkrip akademik.

Disampaikan dengan penuh kemesraan, jenaka bersahaja dan berteraskan keyakinan intelektual yang mendalam, ucapan baginda bukan sekadar meraikan kejayaan peribadi, malah turut mengangkat falsafah kepimpinan Melayu-Islam yang kekal relevan sepanjang masa, menegaskan tanggungjawab hadir bersama ilmu pengetahuan serta kepentingan pembelajaran sepanjang hayat.

Menggambarkan diri sebagai seseorang yang selama ini menganggap dirinya sebagai 'Jill of all trades and master of none' baginda berseloroh bahawa kini tidak lagi boleh menggunakan gelaran tersebut.

Tunku Azizah menerima skrol Ijazah Sarjana Sastera Pemikiran dan Tamadun Islam daripada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Perjalanan baginda kembali ke universiti bukanlah mudah dan mengakui bahawa rektor, penyelia dan para pensyarah sememangnya mempunyai alasan untuk mempersoalkan kemampuan baginda memenuhi tuntutan pengajian pascasiswazah selepas sekian lama meninggalkan alam akademik.

Namun, baginda menegaskan bahawa tiada sebarang kelonggaran diberikan atas kedudukannya sebagai Tengku Ampuan Pahang mahupun Ketua Perlembagaan UIAM.

Baginda menghadiri kuliah, menyiapkan tugasan, menulis tesis dan memenuhi semua keperluan akademik sama seperti pelajar lain.

Artikel Berkaitan:

Malah, selepas Senat mengesahkan kelayakan baginda untuk bergraduasi, baginda masih perlu menjelaskan yuran penilaian tesis sebanyak RM2,200 dan yuran pengijazahan sebanyak RM250 sebelum memperoleh transkrip akademik.

“Beta boleh memberi jaminan kepada rakan-rakan graduan bahawa beta memperoleh ijazah ini hasil usaha sendiri dan UIAM juga memastikan beta menjelaskan yuran yang perlu dibayar,” seloroh baginda.

Menurut baginda, pengalaman itu menjadikan skrol berkenaan lebih bermakna dan cukup berharga.

Namun, penyelidikan baginda mengenai Hukum Kanun Melaka dan Hukum Kanun Pahang memberikan makna lebih mendalam terhadap perjalanan akademiknya.

Melalui kajian terhadap manuskrip tersebut, baginda menemui bagaimana konsep taman telah lama digunakan dalam pemikiran politik Melayu-Islam bagi menjelaskan tanggungjawab pemerintah dan mereka yang diamanahkan dengan kuasa.

Memetik Hukum Kanun Pahang, baginda mengimbas kembali perumpamaan menggambarkan pemerintah sebagai tukang kebun yang mengusahakan sebuah taman dan menanam setiap pohon pada tempat paling sesuai.

Perumpamaan itu mencerminkan falsafah pemerintahan yang meletakkan pemerintah sebagai tukang kebun, kerajaan sebagai taman, manakala para menteri dan pegawai sebagai pohon-pohon menghiasinya.

Setiap individu perlu dipilih berdasarkan keperibadian, kebijaksanaan dan kemampuan masing-masing untuk memberikan sumbangan kepada masyarakat.

Baginda menegaskan bahawa kuasa dan kedudukan bukanlah semata-mata satu keistimewaan, sebaliknya merupakan suatu amanah yang perlu dipertanggungjawabkan.

Baginda turut mengaitkan prinsip berabad-abad lamanya itu dengan identiti UIAM sebagai Taman Ilmu dan Budi, sambil menegaskan bahawa ilmu pengetahuan perlu sentiasa disertai akhlak mulia, akauntabiliti serta khidmat kepada kemanusiaan.

“Jauh sebelum universiti moden membincangkan epistemologi atau pandangan alam, manuskrip kita sendiri telah mengajar bahawa ilmu tidak boleh dipisahkan daripada akhlak, kuasa mesti disertai akauntabiliti dan pemerintahan yang baik bermula dengan insan baik,” titah baginda.

Penyelidikan baginda turut membawa kepada penelitian terhadap Sultan Abdul Ghaffar Muhyiddin Shah, Sultan Pahang ke-12, yang telah memelihara serta memperkemas warisan perlembagaan Alam Melayu melalui Hukum Kanun Pahang.

Dalam satu detik yang cukup menyentuh perasaan, baginda turut menyentuh hubungan sejarah antara manuskrip tersebut dengan majlis graduasinya.

Lebih empat abad selepas zaman pemerintahan Sultan Abdul Ghaffar, ijazah baginda kini disampaikan oleh Sultan Nazrin, yang dikenal pasti oleh baginda sebagai salah seorang keturunan pemerintah Pahang terdahulu itu.

“Sejarah telah melengkapkan satu lingkaran. Beta hanya mampu menganggapnya sebagai ketentuan Ilahi,” titah baginda.

Baginda turut merakamkan penghargaan kepada suami tercinta, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas keizinan, dorongan dan sokongan padu sepanjang tempoh pengajian baginda.

Anak-anak baginda pula mengambil tanggungjawab memastikan ibu mereka terus komited terhadap pengajian, dengan sentiasa mengingatkan baginda supaya tidak ponteng kuliah, mengabaikan tugasan atau berhenti separuh jalan.

Peringatan anak-anak itu turut mencetuskan suasana lucu dalam ucapan baginda, khususnya apabila baginda mengimbas reaksi mereka selepas menerima Anugerah Pelajar Terbaik.

“Mereka menggelar beta sebagai ‘anak emas pensyarah',” seloroh baginda.

Baginda turut menyampaikan penghargaan kepada penyelianya, Profesor Datuk Dr Ahmad Murad Merican, serta penyelia bersama, Dr Nurul Jannah Zainan Nazri dan Profesor Datuk Dr Abdul Aziz Berghout, kerana melayani baginda sebagai seorang pelajar dan bukannya berdasarkan kedudukan diraja.

Baginda menyifatkan ketiga-tiga mereka sebagai individu yang sentiasa mencabar kemampuan baginda, membetulkan hasil penulisan serta memberikan kebebasan untuk mengembangkan hujah dan menulis menggunakan gaya serta suara pemikiran sendiri.

Selepas menamatkan satu lagi fasa penting dalam kehidupan akademiknya, Tunku Azizah kini sudah memasang hasrat untuk menghadapi cabaran seterusnya dengan merancang menyambung pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD).

Namun, pesanan baginda kepada para graduan Kelas 2026 tidak hanya berkisar tentang cita-cita dan pencapaian peribadi.

Baginda mengingatkan bahawa ilmu tanpa nilai budi dan akhlak boleh disalahgunakan untuk mengeksploitasi, memecahbelahkan serta memusnahkan masyarakat.

Sebaliknya, ilmu yang dipandu oleh prinsip tauhid seharusnya menjadi alat untuk menyembuhkan, menyatukan dan berbakti kepada seluruh umat manusia.

“Ilmu bukan sekadar satu pencapaian. Ilmu adalah satu amanah,” titah baginda.

Baginda menyeru para graduan agar membawa nilai-nilai yang dipelajari keluar dari gerbang universiti, sama ada ketika berkhidmat dalam sektor kerajaan, pendidikan, perniagaan, perubatan, perundangan, komuniti mahupun dalam kehidupan berkeluarga.

“Sebelum kita mentadbir orang lain, kita perlu belajar mentadbir diri sendiri. Sebelum kita menuntut integriti daripada para pemimpin, kita sendiri perlu mengamalkannya dalam kehidupan seharian.”

Mengakhiri ucapan dengan kembali kepada perumpamaan taman yang menjadi asas penyelidikannya, baginda mengingatkan bahawa ijazah yang diperoleh bukanlah hasil akhir pendidikan, sebaliknya merupakan benih yang diamanahkan kepada setiap graduan untuk disemai.

“Kita memasuki Taman Ilmu ini sebagai pelajar. Hari ini, kita melangkah keluar sebagai alumni UIAM, bersedia untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai tukang kebun. Marilah kita menanam pohon-pohon yang betul demi membina hutan masa depan yang lebih baik.”

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!