Penggunaan air 240 liter sehari, rakyat perlu ubah tabiat

KUALA SELANGOR – Purata penggunaan air sebanyak 240 liter per kapita sehari (LCD) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya pada tahun lalu melebihi sasaran nasional 180 LCD menjelang 2030 sekali gus memerlukan perubahan tabiat dalam kalangan pengguna.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, angka itu menunjukkan masih banyak ruang untuk memperbaiki cara penggunaan air, terutama dalam memastikan sumber berkenaan diuruskan dengan lebih cekap dan bertanggungjawab.
Menurut beliau, keterjaminan bekalan air bukan hanya tanggungjawab penyedia perkhidmatan, sebaliknya memerlukan penglibatan kerajaan, industri, institusi pendidikan, komuniti dan setiap individu.
“Angka ini menunjukkan bahawa masih banyak ruang untuk kita memperbaiki cara penggunaan air. Kerajaan Negeri menyeru seluruh rakyat supaya mengamalkan penjimatan air secara konsisten.
“Matlamatnya bukan sekadar untuk mencapai sasaran penggunaan, tetapi memastikan sumber air negara terus terpelihara untuk generasi akan datang,” katanya ketika berucap dalam Karnival Wira Air Selangor 2026 di Universiti Selangor (UNISEL) pada Sabtu.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Adam Saffian Ghazali dan Presiden merangkap Naib Canselor Unisel, Dr Hassan Basri.
Amirudin dalam sidang akhbar selepas majlis berkenaan berkata, penganjuran karnival itu bertujuan memperluas kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menggunakan air secara cekap dan memastikan sumber berkenaan terus terpelihara.
Menurut beliau, usaha menjaga air turut merangkumi tanggungjawab memastikan sumber air tidak tercemar serta mengelakkan pembaziran air terawat.
“Objektif itu sudah pasti untuk membawa kesedaran yang lebih luas dan kita mulakan daripada anak-anak supaya mereka dapat membudayakan penggunaan air dengan lebih cekap.
“Mesej ini boleh disampaikan oleh anak-anak kepada keluarga dan seterusnya membentuk budaya baharu dalam rumah tangga,” katanya.
Sementara itu, Adam Saffian berkata, tanggungjawab terhadap penggunaan air tidak berakhir apabila bekalan sampai kepada pengguna, sebaliknya cara sumber berkenaan digunakan turut menentukan kelestariannya untuk jangka panjang.
Tambah beliau, penglibatan pelajar dalam program kesedaran seperti karnival berkenaan diharap dapat melahirkan generasi yang mengamalkan penjimatan air serta menyebarkan mesej itu kepada keluarga dan komuniti.
“Cara kita menggunakan air memainkan peranan penting dalam memastikan sumber ini terus terpelihara. Sebab itu, kesedaran mengenai penjimatan air perlu diterapkan dalam kehidupan seharian, bukan hanya ketika berdepan gangguan bekalan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

