X

Kindly register in order to view this article
!

Ada wang semua jadi

A
A

SUKAN bola sepak kadangkala Tok Ki rasa macam tak masuk akal.

Bayangkan, gaji baharu Lionel Messi jika ramalan dia menyertai Manchester City menjadi kenyataan adalah sebanyak £14,200 (RM78,776) sejam, £341,000 (RM1.89 juta) sehari dan £10.4 juta (RM56.72 juta) sebulan!

Ia susulan bintang Argentina berusia 33 tahun itu bersetuju dengan pembayaran sebanyak £623 juta (RM3.46 bilion) untuk berpindah dari kelab Barcelona ke Manchester City. Ia adalah bayaran individu paling tinggi dalam sejarah sukan.

Tok Ki juga terkejut apabila usahawan dan pakar pelaburan, Norizam Tukiman atau Zamburger kini menjadi bos baharu pasukan bola sepak Kelantan selepas membeli sepenuhnya saham Team Red Warriors (TRW) Sdn Bhd pada harga RM6.8 juta.

Yang Tok Ki terkejut bukan bagaimana orang Johor boleh menguasai ‘pahlawan merah Pantai Timur’ tetapi kesanggupannya berbelanja berjuta-juta ringgit untuk menyelamatkan sebuah pasukan bermasalah.

Skuad Kelantan sudah lama terbelit kemelut kewangan berpanjangan.

Namun begitu, Zamburger mungkin nampak peluang yang orang lain tak nampak. Beliau sendiri kelihatan yakin nilai saham TRW mampu mencapai RM500 juta hingga RM1 bilion dalam tempoh lima tahun lagi.

Dalam hal duit dan pelaburan ini, hanya jauhari mengenal manikam.

*Tok Ki sangkakan bank-bank di Malaysia akan rugi besar susulan moratorium pinjaman akibat wabak Covid-19.

Apatah lagi menteri berkenaan pernah memberitahu Dewan Rakyat bagaimana bank-bank dijangka mengalami kerugian RM79 bilion kerana tak dapat beri pinjaman.

Tapi minggu lepas, apabila bank-bank utama umumkan prestasi kewangan bagi tempoh suku tahun kedua 2020 iaitu dari April hingga Jun lalu, tak ada pula bank yang rugi.

Untung bersih Maybank ialah RM942 juta berbanding RM1.94 bilion bagi suku sama tahun lepas; CIMB untung RM277 juta (RM1.51 bilion); RHB Bank RM400 juta (RM615 juta); Hong Leong Bank RM525 juta (RM469 juta); AmBank RM365 juta (RM391 juta); Affin Bank RM67 juta (RM156 juta) dan Bank Islam RM153 juta (RM195 juta).

Dua buah bank iaitu Public Bank dan Alliance Bank mencatat keuntungan yang lebih tinggi lagi iaitu masing-masing RM1 bilion (RM1.33b) dan RM104 juta (RM77 juta).

Ini bermakna ketika ramai rakyat Malaysia hidup susah dalam tempoh tiga bulan pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lalu, bank-bank kita mampu bertahan dan buat untung.

Sebab itu, Tok Ki rasa tak rugi kalau bank-bank tunjuk belas ihsan kepada peminjam dengan melanjutkan moratorium.

Peribahasa guru kencing berdiri, murid kencing berlari bermaksud murid biasanya bulat-bulat mencontoh gurunya, maka guru sebaiknya jangan memberikan contoh yang tidak elok.

Jika seorang pemimpin berbuat buruk, maka pengikut-pengikutnya akan melakukan perkara yang lebih teruk lagi.

Ketika kementeriannya sibuk berkempen membanteras berita tidak benar, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin terpaksa memohon maaf kepada Veveonah Mosibin selepas mendakwa pelajar Universiti Malaysia Sabah itu tidak mengambil peperiksaan di atas pokok seperti yang tular dalam videonya sebelum ini.

Beliau juga mendakwa Veveonah dari Pitas, Sabah hanyalah seorang YouTuber yang mahu terkenal dengan membuat video hiburan.

Menurut Zahidi, beliau buat dakwaan itu kerana mendapat maklumat tidak tepat ketika menjawab soalan di Dewan Negara Khamis lalu.

Bagi Tok Ki, eloklah Zahidi tunjuk teladan seperti peribahasa tadi. Maka, kalau tak pasti, jangan kongsi.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!