Petronas kerugian RM21 bilion

Tengku Muhammad Taufik bercakap semasa pengumuman hasil kewangan Kumpulan Petronas separuh tahun pertama 2020 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.
Foto: BERNAMA
Tengku Muhammad Taufik bercakap semasa pengumuman hasil kewangan Kumpulan Petronas separuh tahun pertama 2020 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini. Foto: BERNAMA
A
A
A

KUALA LUMPUR - Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mengalami kerugian bersih RM21 bilion pada suku kedua 2020 berbanding keuntungan bersih RM14.7 bilion bagi tempoh sama tahun lepas, terutamanya akibat penyusutan perolehan dan peningkatan susut nilai aset.

Kerugian itu diakibatkan kejatuhan terhadap permintaan minyak dan susut nilai bernilai RM20.77 bilion susulan kejatuhan harga minyak.

Ini menjadikan rugi bersih yang direkodkan Petronas pada separuh tahun pertama 2020 berjumlah RM16.5 bilion berbanding keuntungan bersih RM28.9 bilion pada tempoh sama tahun lalu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, industri minyak dan gas berdepan cabaran pada separuh pertama tahun ini sehingga menjejaskan industri secara ketara.

"Kita akan terus berdepan cabaran yang pelbagai dengan penularan Covid-19 dan ia dijangka berterusan pada separuh kedua 2020.

"Tumpuan kami adalah memastikan Petronas kekal kukuh untuk terus mengharungi perubahan baharu yang dicetuskan lebihan bekalan yang berlarutan di tengah-tengah pengurangan permintaan," katanya kepada pemberita selepas mengumumkan prestasi kewangan kumpulan itu bagi separuh pertama berakhir 30 Jun 2020 di sini semalam.

Dalam pada itu, Tengku Muhammad Taufik memberi jaminan bahawa tiada pekerjanya yang akan diberhentikan atau jumlah mereka dikurangkan walaupun kumpulan itu dalam proses mengurangkan kos modal untuk memperkukuh daya tahannya.

Bagaimanapun, syarikat minyak dan gas negara itu sedang mempertimbang kemungkinan melaksanakan potongan gaji berikutan persekitaran pasaran industri yang mencabar.

Artikel Berkaitan:

"Perbincangan akhir itu masih lagi dijalankan. Sebarang keputusan (muktamad) mengenai perkara itu akan disampaikan kepada para pekerja terlebih dahulu.

"Kita telah meneliti pilihan yang ada (bagi mengurangkan kos) dan pada masa sama mahu menjadi pengurusan yang bertanggungjawab.

"Kita juga tidak mahu meneruskan pilihan untuk mengurangkan atau memberhentikan pekerja. Kita perlu terus melangkah dan berkongsi keperitan ini sebagai satu pasukan kerja, namun tidak berada dalam kedudukan untuk melaksanakan langkah pemberhentian pekerja," katanya.

Petronas mempunyai seramai 47,669 pekerja setakat 2019.

Perolehan kumpulan itu susut sebanyak 23 peratus bagi separuh pertama 2020 kepada RM93.6 bilion berikutan purata harga direalisasikan bagi semua produk dan jumlah jualan yang berkurangan, terutamanya untuk produk petroleum, gas asli cecair (LNG) dan gas diproses.

Mengulas selanjutnya, Tengku Muhammad Taufik berkata, prospek sedia ada kekal mencabar manakala prestasi kumpulan bagi 2020 akan terjejas ketara susulan harga minyak yang rendah serta permintaan yang berkurangan.

Berikutan itu, kumpulan berkenaan merancang untuk mengekalkan mudah tunai menerusi pengurangan sebanyak 21 peratus dalam kos modal serta perbelanjaan operasi lebih rendah yang disasarkan menjelang akhir tahun ini.