Bursa Malaysia naik pada dagangan awal

Pada jam 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menambah 1.53 mata kepada 1,604.76 daripada 1,603.23 semalam. Gambar hiasan.
Pada jam 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menambah 1.53 mata kepada 1,604.76 daripada 1,603.23 semalam. Gambar hiasan.
A
A
A

BURSA Malaysia mencatatkan peningkatan semula pada dagangan awal, menjejaki prestasi semalaman Wall Street yang positif selepas data inflasi Amerika Syarikat (AS) yang lebih rendah daripada jangkaan memberikan harapan Rizab Persekutuan (Fed) AS akan menurunkan kadar faedah tidak lama lagi.

Pada jam 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menambah 1.53 mata kepada 1,604.76 daripada 1,603.23 semalam.

Indeks barometer dibuka tinggi 1.15 mata kepada 1,604.38.

Kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 231 berbanding 176 dengan 312 kaunter tidak berubah, 1,649 tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 297.48 juta unit bernilai RM195.11 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng memberitahu Bernama bahawa indeks dijangka meningkat dan berada antara 1,605 dan 1,615 hari ini selepas Wall Street mencatatkan prestasi yang baik semalam.

Dow Jones naik 350 mata manakala Nasdaq menambah 231 mata, didorong oleh saham teknologi dan hasil 10 tahun AS yang merosot kepada 4.344 peratus.

Indeks Harga Pengguna (IHP) AS pada April meningkat 0.3 peratus, di bawah jangkaan untuk kenaikan sebanyak 0.4 peratus, menunjukkan inflasi meneruskan aliran penurunan pada suku kedua.

Artikel Berkaitan:

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, minat belian dijangka terhadap sektor teknologi domestik berdasarkan kenaikan di Wall Street.

"AS yang mengenakan tarif lebih tinggi ke atas produk China dijangka memberi manfaat kepada industri sarung tangan, semikonduktor, perkhidmatan pembuatan elektronik dan industri berkaitan logam.

"Kami turut memilih sektor pembinaan, bahan binaan dan hartanah dengan pemangkin domestik seperti projek infrastruktur mega yang sedang dilaksanakan,” katanya dalam nota penyelidikan.

Dalam kalangan kaunter saham wajaran tinggi, YTL dan Petronas Chemicals, masing-masing naik empat sen kepada RM3.67 dan RM6.85.

YTL Power meningkat lima sen kepada RM5.19, Press Metal naik tiga sen kepada RM5.43 dan Public Bank menambah satu sen kepada RM4.16.

Kaunter sarung tangan terus mendominasi senarai kaunter aktif, tetapi kebanyakannya rendah dengan Top Glove merosot satu sen kepada RM1.25 dan Careplus berkurangan 1.5 sen kepada 36.5 sen. Revenue naik setengah sen kepada 25 sen dan TWL tidak berubah pada 2.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 6.13 mata kepada 12,190.82, Indeks FBMT 100 naik 4.12 mata kepada 11,796.64 dan Indeks FBM Emas Shariah menambah 4.42 mata kepada 12,395.12.

Indeks FBM ACE meningkat 29 mata kepada 5,314.69 dan Indeks FBM 70 merosot 22.91 mata kepada 17,389.31.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 1.42 mata kepada 17,508.26, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 0.66 mata kepada 193.06 dan Indeks Perladangan susut 2.71 mata kepada 7,382.16.

Indeks Tenaga meningkat 1.02 mata kepada 986.95. - Bernama