Pencemar tanggung kos pembersihan sungai

Dr Zaini (dua dari kiri) menunjukkan sampel air selepas melakukan lawatan di Muka Sauk Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, Bestari Jaya, Kuala Selangor hari ini.
Dr Zaini (dua dari kiri) menunjukkan sampel air selepas melakukan lawatan di Muka Sauk Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, Bestari Jaya, Kuala Selangor hari ini.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Pemilik premis perindustrian yang terlibat dengan pencemaran bau di Sungai Gong akan dikenakan tindakan tegas termasuk menanggung kos pembersihan merawat semula sungai berkenaan.

Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar, Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang berkata, kementerian sudah mengambil tindakan penguatkuasaan termasuk menyita beberapa premis perindustrian yang disyaki melepaskan bahan kimia ke dalam sungai terbabit.

"Sekiranya didapati bersalah, pemilik premis perindustrian berkenaan bertanggungjawab menanggung kos pembersihan untuk merawat semula air sungai yang tercemar.

"Buat masa ini, pihak penguatkuasaan sedang menyiapkan kertas pertuduhan untuk dibawa ke mahkamah pada minggu depan," katanya pada sidang akhbar selepas melakukan lawatan di Muka Sauk Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, Bestari Jaya di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Premis kilang punca pencemaran Sungai Gong sudah disita

Dr Zaini berkata, semua agensi berkaitan memandang serius isu pencemaran bau tersebut.

"Agensi berkaitan seperti Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Jabatan Alam Sekitar (JAS), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri akan melakukan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan berhubung perkara ini," katanya.

Beliau berkata, kementerian juga sedang menyiapkan rang undang-undang bagi mengambil tindakan tegas terhadap pesalah terbabit.

"Perkara ini akan dibawa ke Sidang Parlimen akan datang untuk memastikan denda yang dikenakan bagi kesalahan itu lebih tinggi berbanding sebelum ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Dr Zaini berkata, penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang mengakibatkan lima juta pengguna air di sekitar Lembah Klang terjejas.

Menurutnya, LRA hanya boleh beroperasi semula apabila tahap pencemaran berada pada tahap sifar ton.

"LRA yang direka bentuk ini tidak boleh merawat bahan-bahan kimia seperti ini kerana kosnya yang tinggi selain boleh menyebabkan pengguna berada dalam keadaan berisiko dari segi kesihatan terutama kanak-kanak.

"Penyelesaian yang paling baik ialah kita tutup LRA berkaitan bagi memastikan bekalan air yang sampai kepada penduduk selamat yang tidak mengandungi bahan kimia.

"Kita harap dengan taburan hujan pelepasan sisa kimia ke hilir sungai dengan kadar lebih cepat seterusnya bekalan kembali pulih," katanya.